APA SALAH BETA

APA SALAH BETA

cerita pendek royal rmarm

RINTIK hujan mula melebat hebat. Tiada payung dapat menahan diri dari basah lencun. Kebodohan mahupun kepintaran juga tidak akan mampu menghentikan hujan yang sememangnya rahmat dari Ilahi yang mengatur segala-galanya dari bumi hingga ke langit berterusan tanpa tahu di mana penghujungnya dunia.

            Tujuh langkah kaki melangkah tanpa menoleh walau sedikit itu sebenarnya menyimpan berjuta-juta persoalan yang sesiapa juga tidak akan mengetahui apa jawapannya kerana keyakinannya persoalan itu tidak pernah mahu ditemukan jawapan. Angkuhlah apabila dikatakan, hati ini tidak terluka. Bongkaklah juga apabila dikatakan, jiwa ini tidak terseksa. Sombonglah selama-lamanya, wajah perasaan diri apabila tidak diperkatakan yang dekat itu sebenarnya telah jauh.

***********

            Suasana hiruk-pikuk itu seolah-olah melemaskan semua yang terpendam di dalam benak manusia yang berkeliaran menuju ke destinasi masing-masing, walaupun ada juga yang tidak menuju ke destinasi yang telah ditentukan. Adat manusia yang suka melakukan sesuatu yang terang-terangnya sudah tahu, ia akan menambahkan dosa sendiri.

            “Aku masih tak faham, kenapa kau beria-ria sangat nak terluka, patah hati, remuk rendam dan segala bagai ini. Apalah yang hebat sangat dengan perempuan macam tu…”

            Seorang wanita menarik tangan seorang budak kecil yang bertocang dua dengan memakai gaun merah jambu. Biasalah, budak perempuan. Itulah kebiasaan pakaian yang serasi dengan mereka. Entahlah, apabila sudah besar nanti. Harapan mungkin tipis untuk melihat budak perempuan itu berpakaian sopan. Namun, itu bukan persoalan pada mata yang sedang memandang dan telinga yang sedang mendengar bebelan dari seorang teman yang mengetahui semua rahsia hati ini. Dari yang kecil sampailah yang sebesar zarah di seberang laut, dia tetap mengetahuinya.

            “Sudahlah, Alif. Buat bengang sahaja kalau kau terus memikirkan perempuan yang telah tinggalkan kau tu.”

            “Tolong ya. Bukan aku ditinggalkan tapi aku yang tinggalkan dia.” Alif membetulkan tali lehernya yang terasa menyekat di leher itu.

            “Emm… Kalau kau dah tahu, kenapa juga kau macam orang bodoh? Semua kerja tak selesai dengan sempurna. Aku tahulah yang kau ni, tak bekerja pun, duit masuk tiap-tiap bulan.”

            “Zain. Kau jangan nak memprovokasikan kekayaan aku. Aku bengang dengan perempuan tu sebab…” Alif melonggarkan tali lehernya kasar. Zain tertawa kecil.

            “Kad kredit kau kena sita ke?” Sekali lagi Zain ketawa dan kali ini ketawanya memecah keriuhan bandar di tengah hari itu. “Alah… kau boleh cari perempuan lain yang boleh kau jadikan isteri yang tahu menguruskan kewangan. Perempuan sememangnya tak boleh dipisahkan dengan sifat suka membeli-belah. Beli lepas itu belah duit kau.” Alif menggilat dan menggigit bibirnya. Niat mereka yang ingin menjamu perut mereka itu tidak kesampaian kerana semua restoran yang dikunjungi dipenuhi oleh orang ramai.

            “Aku fahamlah. Aku dah lupakan semua itu. Aku boleh cari perempuan lain. Aku ada segala-galanya.” Alif memutuskan keputusan dengan dirinya sendiri. Zain mengangguk dengan bibirnya berbentuk sinis kepadanya. “Jomlah, cari tempat nak makan ni.” Mereka menyusur jalan lorong kaki lima itu bersama orang ramai.

            Tanpa diduga oleh Alif dia dilanggar oleh seorang wanita. Alif pantas tunduk membantu wanita itu mengutip kertas dan fail yang bertabur di atas lantai. Zain membantu. Alif menyerahkan kertas kepada wanita itu namun terhenti apabila memandang pandangan mata wanita itu. Dia terkesima seketika.

***********

            “Saya mengerti dengan tugas kalian semua. Tugas yang langsung tak berkaitan dengan dunia fantasi.” Alif dan Zain berpandangan sesama sendiri. Tun Zaky menarik nafas dan memain-mainkan pen berharga ratusan ringgit cenderamata ketika dia melawat Arab Saudi itu bergerak-gerak di jemarinya.

            “Maksud Tun Zaky? Tugas yang langsung tak berkaitan dengan dunia fantasi…” Zain melirik tanya. Alif menyilangkan kakinya dan mendongak dagunya.

            “Kita dipelawa untuk menyertai bengkel dunia sastera.” Tun Zaky tersenyum sumbing. Alif dan Zain berpandangan sesama sendiri lantas tertawa.

            “Tun Zaky bergurau. Tak sangka…” Alif pantas berdiri. “Dunia sastera. Saya tak ada masa. Banyak kes nak diselesaikan.”

            “Saya tahu yang awak dah serahkan kes kepada pelatih graduan itu. Awak hanya memantau sahaja selepas putus cinta. Betul tak?” Alif pantas memandang Zain. Alif kembali duduk. Zain menahan gelaknya. “Saya pilih kamu berdua sebab kamu berdua yang paling layak sekali untuk menyertai bengkel tersebut.”

            “Tapi Tun Zaky, saya tak bermi…”

            “Saya tahu.” Pantas sahaja Tun Zaky memotong kata Alif. Alif mengeluh lemas. Zain mengedip-ngedipkan matanya.

            “Nak bertanyalah, walaupun rasanya pertanyaan ini adalah pertanyaan bodoh. Kenapa pula kami berdua? Apakah kesalahan kami berdua sampaikan kami yang harus menyertai bengkel tersebut?” Tun Zaky menggelengkan kepalanya dengan pertanyaan Zain itu.

            “Beginilah. Apabila kamu berdua sudah berada di bengkel tersebut, pasti kamu berdua akan tahu, kenapa…” Bulat mata Tun Zaky memandang mereka berdua. “Cuma sebulan sahaja. Berkampung di dunia sastera di Wilayah Persekutuan Labuan.” Kendur raut wajah Alif. Zain memandang Alif.

            “Labuan?” Sumbing bibir Alif bertanya. Mahu atau tidak, arahan majikan terpaksa dituruti.

***********

            Alif menghempas beg di atas lantai berjubin putih itu. “Memang bodoh betul aku berada kat sini.” Mereka melihat sekeliling. Lapangan terbang itu kecil dan terasa difikiran mereka sesat di kawasan itu. Penumpang yang sama dalam penerbangan mereka itu sibuk mencari teksi yang berderet sebaris itu.

            “Kita nak buat apa? Sepanjang hidup aku, inilah pertama kali aku sampai kat pulau ini. Aku dengar cerita, orang kat sini masih tinggal kat atas pokok.”

            “Kau dengar cerita dari siapa? Macam mana mereka tinggal atas pokok sedangkan kau sekarang ni berdiri kat lapangan terbang pulau sepi ini. Pulau…” Alif mendekatkan bisiknya di telinga Zain. “Pulau hantu…” Zain tersenyum menggelengkan kepalanya. “Betul apa? Dalam sehari, kau pernah dengar cerita dari pulau ini? Macam tak ada orang sahaja tinggal kat sini.” Zain mengangkat bahu. Alif melilau sekeliling. “Kita nak naik teksi ke?”

            “Kau nak jalan kaki? Kau bayangkan, kalau ini KLIA. Menapak kita nak ke KL.” Alif mengangkat beg dan menyandang di bahunya. “Naik teksi, kau dah beli tiket?”

            “Nak beli kat mana?” Zain mengangkat bahu tidak tahu. Mereka berdua melilau sekeliling sekali lagi. Seorang wanita sedang memegang kayu mop menyorongnya di atas lantai berjubin putih itu. “Kau pergi tanya dengan makcik itu?”

            “Aku? Kenapa pula aku?” Alif memberi signal menggunakan kepalanya sebagai tanda arahan keras untuk Zain melaksanakan arahannya itu. Zain mengaku kalah dan menghampiri wanita yang sedang bekerja itu.

            “Maafkan saya.” Wanita itu tersenyum kepada Zain dan Zain pantas mengulum senyuman kecil. “Mana nak beli tiket teksi?” Wanita itu menunjukkan tangannya ke kiri. Zain melihat arah itu. Alif juga begitu. Zain mengangguk dan mengucapkan terima kasih kepada wanita itu. Wanita itu tersenyum dan meneruskan kerjanya.

***********

            Tanda nama Manikar Beach Resort & Spa terpampang besar di mata mereka berdua. “Punyalah tersorok hotel ini. Macam mana nak maju macam ni. Dikelilingi oleh hutan. Pelik. Memang betullah pulau hantu…” Alif bersuara memberikan ketidakpuashatiannya. Zain meluru ke kaunter. Alif menurut.

            “Betulkah kat sini ada bengkel sastera?” Pekerja hotel itu sedikit terkesima dengan pertanyaan Zain. Alif menghampiri Zain.

            “Ya. Memang benar. Dan pendaftaran tersebut adalah hari esok.”

            “Kami tahulah. Kami sengaja datang awal. Cuma nak tanya, kat sini ke tempatnya.”

            “Saya dah beritahu maklumat ringkas tersebut, itu bererti, di sinilah tempatnya.” Zain memandang Alif.

            “Dia kenakan kita…” Alif berbisik perlahan.

            “Boleh saya bantu?” Pekerja hotel itu tersenyum. “Saya Jimmy.”

            “Tak tanya pun. Kami nak check-in.” Jimmy tersenyum kecil. Alif dan Zain ketawa mendadak. Jimmy tersentak dengan tingkah mereka berdua. “Tak adalah. Kami bergurau sahaja dengan awak. Sahaja nak tahu tahap kesabaran pekerja hotel ini macam mana…” Sekali lagi mereka tertawa. Jimmy tersenyum mengangguk.

            “Makan kat mana?” Alif bertanya.

            “Setahu saya, emak saya kata kita makan kat pinggan.” Alif memandang Jimmy.

            “Saya tak bergurau. Saya serius.” Jimmy mengangguk dan menyerahkan dua keping kertas kepada mereka berdua.

            “Tahap kesabaran yang diajar kepada kami sebelum kami bekerja di hotel ini adalah sebanyak 100 %. Namun, sejauh mana tahap kesabaran seseorang manusia itu?” Alif ketawa dan mengambil kertas tersebut.

            “Kau memang bodohlah, Alif. Kau tak nampak ke, ruang kat sana yang besar tu. Takkan kau dah rabun pula…” Zain menyangkal tingkah Alif. Alif menoleh ke belakang. Kafeteria hotel itu terbuka luas pintu masuk.

            “Adakah Encik berdua ini, Encik Alif Muhtaruddin dan Encik Zain Alias?” Alif dan Zain memandang Jimmy.

            “Awak rasa?” Jimmy tersenyum dan mengangguk perlahan. Mereka menulis apa yang dimahukan di dalam kertas yang boleh dikatakan seperti borang itu. Jimmy mengatur sesuatu di komputer.

            “Laku ke hotel ni?” Jimmy tergelak kecil dengan pertanyaan Alif.

            “Syukur alhamdulilah yang kami masih lagi bergaji penuh setiap bulan.”

            “Awak Islam?” Alif dan Zain bertanya serentak. Jimmy mengangguk.

            “Saya orang Sabah. Berbangsa Kadazan namun saya memeluk Islam dua tahun lalu.”

            “Tapi nama awak Jimmy.”

            “Nama bukan ukuran.” Alif dan Zain mengangguk perlahan kerana mereka kalah juga dengan pekerja hotel tersebut. Mereka menyerahkan borang itu kepada Jimmy semula. Alif dan Zain berpaling dan menuju ke kafeteria yang berada di belakang mereka itu. Jimmy hanya tersenyum dan menyimpan maklumat mereka berdua di dalam data simpanan penginap.

***********

            Alif dan Zain serentak menguap kasar di dalam kelas pertama pada hari itu membuatkan peserta bengkel yang diadakan di bilik mesyuarat itu lantas memandang kepada mereka berdua. Alif dan Zain terus tersengih kambing mengalihkan pandangan. Seorang wanita memandang tajam kepada mereka berdua. Alif menjuihkan bibirnya menyampah dengan pandangan wanita itu kepada mereka. Wanita itu mengalihkan pandangannya kepada penceramah yang berdiri di hadapan. Penceramah cuba membuat lawak bodoh di hadapan untuk menyembunyikan apa yang dirasakan oleh Alif dan Zain.

            “Apa kata kita berehat sebentar. Mungkin, jamuan tengah hari sudah disediakan.” Alif pantas menjatuhkan dahi ke tangannya. Zain pula menyandarkan seluruh tubuhnya di kerusi yang tidak begitu selesa itu. Ruang itu kedengaran bising sedikit dengan suara-suara yang berbual sesama sendiri. “Maafkan saya.” Zain pantas membuka kelopak matanya dan menolak Alif agar bangun. Alif pantas bangun dan menguap kasar lagi.

            “Kenapa?” Zain bertanya kepada penceramah tersebut. Alif menyeka mukanya dengan kasar. Betapa membosankan hari itu menyesak semua aliran darahnya.

            “Saya mengerti keadaan awak berdua. Tapi, apa boleh buat. Bengkel ini disertai oleh semua wakil setiap bahagian. Ada dua orang peserta dari kalangan doktor.”

            “Tak payahlah nak pujuk kami berdua yang sememangnya sudah terasa bosan, menyampah, sakit hati, benci dan mungkin sahaja akan berdendam untuk membunuh.” Alif bersuara menyatakan perasaannya kepada penceramah itu. “Encik apa namanya tadi?”

            “Encik Othman.” Alif mengangguk. “Tak apa. Biasalah hari pertama.”

            “Ya… Ada 29 hari lagi menanti dengan penuh penyeksaan.” Wanita itu pula yang menambah jawapan. Encik Othman tersenyum sahaja. Alif mengecam tajam pandangan sinis wanita itu yang melangkah keluar dari bilik mesyuarat tersebut.

***********

            “Dah seminggu berlalu. Aku rasa, dunia aku ini dah tak berguna lagi.” Zain ketawa dengan bait puisi yang dilafazkan oleh Alif yang berdiri. Dia yang diminta untuk membaca puisi yang diminta dikarang oleh penceramah wanita itu membuatkan kesemua peserta bengkel mendengarnya. Alif melirik pandang kepada wanita yang sering memandang sinis kepadanya. “Hari-hari berdepan dengan kebodohan, kebencian dan kebosanan. Malang nasib bertambah, tarikh tiket tak boleh diubah. Hati terus menyampah dan menyumpah seranah. Sakit hati berdepan dengan semua kepalsuan. Sedangkan yang nyata sudah diperkotak-katak-katikkan.” Zain menutup mulutnya agar tidak terlafaz tawanya. “Bahasa nampaknya sudah jadi asahab. Lintang-pukang tak tentu hala. Ingat senang nak buat. Ingat aku apa?” Alif meletakkan kertas di atas meja dan duduk kasar.

            “Terima kasih. Puisi yang dipenuhi dengan kemarahan yang teramat sangat.” Zain masih menutup mulutnya. Penceramah wanita itu tersengih kambing mendapat bunga. Alif merenyukkan kertas yang tertulis puisi bengang yang entahlah, dia sendiri juga tidak tahu. “Apa kata, kalau kita minta seseorang untuk membaca sebuah puisi lagi.” Alif mendengus kasar membuatkan penceramah itu terhenti berkata. Zain berdehem dengan tawanya. “Kali ini, wanita. Siapa yang sudi?” Alif dan Zain memandang ke semua wajah peserta bengkel yang duduk berkeliling itu.

            “Saya.” Seorang wanita berdiri dan tersenyum. Alif dan Zain memandang pantas. Alif menjeling malas. Wanita itu merenung seketika tingkah Alif.

            “Silakan.” Alif menelan air liur paksa dan menyandarkan seluruh tubuhnya di kerusi yang keras macam kayu itu.

            “Apabila kita melangkah, mungkin perkara pertama yang kita terfikir, adakah langkah kita ini akan menuju pada sesuatu kebodohan atau kepintaran.” Alif memandang wanita itu. Tajam. Zain turut memandang. Malah, semua mata juga turut memandang. “Sudah seminggu bersama, dunia yang begitu banyak beza. Kau dengan duniamu dan aku dengan duniaku. Aku selalu mengintai sudut duniamu untuk fantasiku, untuk bait kata tanpa bukti sahih mengatur alun bicara cerita. Namun, kau buang duniaku, dunia yang tidak mahu kau lontar dengan kebuktian. Kau terus dikurung dengan duniamu. Dunia yang penuh dengan kemarahan. Hari berlalu sebenarnya ingin mengubah cara duniamu. Tidak terus marah, tidak terus benci, tidak terus menyumpah, tidak terus hanyut dengan rasa gelisah yang sebenarnya ingin sempurna. Namun, jika dirimu tidak mahu membuka pintu duniamu untuk duniaku, teruskanlah. Teruskanlah, kau begitu. Duniaku akan selalu terbuka untuk duniamu.”

            Alif menggigit bibirnya dan mengecilkan kelopak matanya. Zain menarik nafas dalam. Wanita itu duduk dan melirik ke arah Alif yang memandangnya. “Terima kasih. Puisi yang boleh dikatakan seperti menjawab kemarahan pemuisi kita sebentar tadi.”

            “Bodoh!” Semua mata menerpa ke arah Alif. Alif merenung tajam ke arah wanita itu. Wanita itu hanya tersenyum. Zain melepas tangan dari amukan perasaan Alif ketika itu. Wanita itu hanya tersenyum sinis kepada mereka berdua.

***********

            “Aku betul-betul marah dengan perempuan tu tahu tak. Kenapa dengan dia tu, ah? Dia memang sengaja nak cari pasal dengan aku. Setiap kali, dia asyik nak menentang apa yang aku tulis. Ingat dia siapa?” Alif membalingkan fail di atas katil.

            Zain membisu tingkah. Dia hanya duduk di atas katil. Alif menuju ke kamar mandi. “Bila aku fikirkan balik. Apa yang perempuan tu cakap betul apa. Kita ini kadangkala macam pentingkan diri sendiri. Hanya nak ikut kemahuan kita sahaja. Kau tak terfikir, kenapa perempuan tak melekat dengan kita?” Alif berdiri di hadapan Zain.

            “Jadi, kau percaya dengan apa yang perempuan tu cakap. Tolonglah, Zain. Setakat dia cakap perkataan, musakat kepada orang yang pentingkan diri. Kau dah takut ke? Aku tahulah musakat tu bermaksud sengsara atau celaka. Alah… kau ni.”

            “Tak. Bukan itu. Tapi apabila dia kata, bait puisi seorang penulis. Erti sebuah kasih buat kekasih.” Alif merenung Zain. “Kita terlalu mengharapkan yang sempurna dan selalu membentuk seseorang itu menjadi seperti yang kita mahu.” Zain memandang Alif. Alif duduk di sisi Zain. “Dah tiga teman wanita aku lari tinggalkan aku semata-mata hanya kerana mereka tak suka aku membentuk mereka menjadi wanita yang aku mahukan.”

            “Aku rasa, kau terlalu terfikir sangat. Dia tu bukan siapa-siapa pun. Aku ada rancangan nak kenakan dia.” Zain memandang Alif.

            “Kau biar betul?” Alif tersenyum dan Zain hanya menarik nafas dalam.

***********

            “Kita baharu sahaja mendengar cerpen yang dikarang oleh rakan kita. Dan tak sangka, bengkel ini hampir kepada penghujung. Hanya tinggal dua hari sahaja. Saya rasa seronok sekali kerana kesudian anda semua untuk berkampung di sini selama sebulan tanpa mengenal rasa jemu dan penat.” Bicara Encik Othman terhenti apabila Alif dan Zain tiba-tiba sahaja sendawa. Mereka berdua sama-sama mengangkat tangan sebagai tanda maaf. “Untuk majlis pada malam penutupan, saya berharap para peserta akan membuat persembahan. Emm… bagaimana dengan Alif dan Zain? Ada apa-apa aktiviti untuk persembahan pada malam tersebut?”

            “Ada…” Alif pantas menjawab. Zain turut tersenyum. Encik Othman mengangguk. Mereka serentak melirik pandang ke arah wanita yang sentiasa menjadi anti kemarahan mereka terhadap bengkel sastera ini. Walaupun pada hakikatnya, wanita itu langsung tidak berniat sebegitu kepada mereka berdua.

***********

            “Kau biar betul Alif?” Alif memandang Zain. Dia memasukkan beberapa biji gula-gula nips ke dalam mulutnya lalu mengunyahnya.

            “Kau ikut sahaja. Bukan susah sangat. Macam tak pernah buat sahaja sebelum ini. Mari…” Zain menurut Alif. Alif memusing tombol yang terikat dengan tali dan lantas itu turunlah lantai papan ke bawah. Alif dan Zain tersenyum lalu meletakkan sesuatu di atas lantai papan tersebut. Mereka berdua pantas berlari keluar dari dewan tersebut dan tanpa diduga mereka terlanggar dengan seseorang.

            “Habis semuanya bertabur…” Alif dan Zain memandang kosong. Wanita itu sedang mengutip kain yang bertaburan di atas lantai berkarpet hijau itu. Dia berdiri dan memandang mereka berdua. “Tuhan anugerahkan mata yang celik tetapi butakan hati.”

            “Tuhan juga anugerahkan akal yang pintar tetapi bodohkan minda.” Alif pantas menjawab. “Lain kali, jalan gunakan kaki bukan gunakan mata.” Zain ketawa dengan kata Alif.

            “Kalau gunakan kaki tetapi kaki melangkah ke tempat yang salah, tetap tak juga berguna.”

            “Amboi… Melawan nampak.” Wanita itu berpaling pergi. Alif dan Zain berpaling melihat langkah wanita itu. “Menyampah betul aku dengan perempuan tu. Ingat dia hebat sangat ke jadi penulis tak cukup makan tu…”

            “Kau kata tak cukup makan? Aku tengok dia tu terlebih cukup makan.” Mereka pantas ketawa bersama. “Sudahlah… Mari.” Mereka segera berpaling pergi.

***********

            “Ramai juga yang datang malam ni.” Mereka melilau ke seluruh dewan. “Aku dengar, kat sini ada persatuan. Persatuan penulis.”

            “Persatuan penulis? Pulau kecil macam ni ada juga penulis. Alah… tak kemana juga mereka tu. Tak ada siapa yang nak baca pun.” Zain mengakui kata Alif yang sememangnya sekepala itu. “Lama juga majlis ni nak mula. Aku ni dah tak sabar nak tengok tayangan menarik ini. Dari pawagam ke rumah.” Zain ketawa dengan kata Alif.

            “Sabarlah. Masa belum tiba.” Mereka menunggu seketika sehinggalah ketua persatuan penulis itu dipanggil naik untuk memberikan sepatah dua kata yang sebenarnya bukanlah sepatah dua kata itu. Hampir 30 minit mereka menunggu ucapan itu disudahkan. Mereka menahan rasa kantuk kerana setiap kata ucapan itu langsung tidak kena-mengena dengan mereka juga pun.

            “Majlis ini diteruskan dengan menjemput para peserta yang akan mempersembahkan persembahan mereka bagi menyerikan lagi majlis pada malam ini.” Alif dan Zain tersenyum bersama.

            “Alif…” Alif menoleh ke belakang. Encik Othman tersenyum. “Bila giliran awak berdua?” Alif memandang Zain.

            “Oh… Kami tak jadi nak buat persembahan. Tak ada ilham. Kalau ada pun kat Kundang.” Encik Othman tidak mengerti dengan jawapan Alif yang sedang tersenyum sumbing itu. Zain mengangguk sahaja. Encik Othman berlalu pergi. Dia mengerti dengan sikap mereka berdua yang sambil lewa dengan semua aktiviti sepanjang bengkel ini berlangsung.

            “Aku tak sabar nak balik KL.”

            “Kau jangan cakap macam tu. Kata kau tu membuatkan aku rasa nak pulang saja malam ni.” Tarian yang dipersembahkan di atas pentas langsung tidak menarik mata mereka untuk menatapnya. Maklumlah tarian tradisional malah tarian itu adalah tarian rasmi bagi Wilayah Persekutuan Labuan iaitu Tarian Adai-adai membuatkan mereka berdua semakin ditelan rasa kantuk yang berat. “Aku langsung tak faham apa maksud lagu tu. Adai-adai tu apa maksudnya?” Zain mengangkat bahu malas dan menutup mulutnya yang sedang menguap besar itu.

            “Itulah persembahan tarian yang cukup hebat sekali dari peserta bengkel kita kali ini.” Alif dan Zain menjuihkan bibir ke depan terasa ingin muak. “Seterusnya kita mempersembahkan sebuah puisi lagu daripada salah seorang peserta kita iaitu Ridha Shufi.” Alif dan Zain berpandangan sesama sendiri lantas mengangkat bahu tidak tahu, siapakah peserta tersebut.

            Petugas pentas menyorong sebuah piano kecil ke tengah pentas. Seorang wanita melangkah ke depan lalu duduk di kerusi dan jemarinya bersedia memetik piano tersebut. Mikrofon menghala ke bibirnya. “Dialah…” Alif menangkat sedikit badannya. Dia melihat wanita itu berlainan sama sekali. Dia memandang Zain yang bingung. Wanita itu memakai baju kurung moden berwarna putih bersih.

            “Aku tak pernah tahu nama dia macam tu. Siapa nama dia?” Alif mengangkat bahu dan tidak mengingati nama yang disebutkan sebentar tadi. Telinga mereka pantas menangkap bunyi petikan piano yang beralun sayu itu. Mata mereka berdua tertumpu kepada pentas. Wanita itu menyanyi dan seketika wanita itu menuturkan puisi.

            “Zain…” Alif memandang Zain. Zain mendongak ke atas lalu memandang semula kepada Alif.

            “Rasanya tak sempat lagi… Masanya dah tiba.” Mereka menoleh ke pentas dan mendongak ke atas. Lantai papan mula senget ke bawah. Fikiran mereka serentak teringat perbuatan mereka. Mereka telah memotong tali pengikat dan potongan mereka itu mengikut kadar masa persembahan wanita itu. Dan lantai papan akan jatuh mungkin sahaja selesai wanita itu menyudahkan persembahannya. Mereka berdua menelan air liur paksa dan menunggu sahaja.

            Wanita itu menyudahkan persembahannya dengan rangkap puisi terakhir dan mematikan petikan piano itu. Bertepuk sorai di dalam dewan itu. Wanita itu bangun dan tersenyum hormat. Dan tanpa diduga, lantai papan terputus tali dan beberapa tin cat berwarna hitam dan merah menimpa teruk ke seluruh tubuh wanita itu. Semua penonton menjerit terkejut. Wanita itu menyeka mukanya dari terus melekat cat tersebut. Alif dan Zain membulatkan mata dan menelan air liur paksa sekali lagi.

***********

            Kertas ditarik keras dari tangan Alif. Wanita itu berdiri dan menjeling malas. Tangannya sempat memungut botol berisi pil. Zain melihat tingkat itu. “Awak…” Wanita itu memandang Zain dan wanita itu turut menarik fail dari tangan Zain. Alif dan Zain tersentak tingkah. Wanita itu melangkah melepasi mereka.

            Mereka berpaling melihat wanita itu menyeberang jalan dan berwajah bengis memandang mereka berdua. “Tak sangka boleh berjumpa dengan dia di awal tahun 2011 ni. Nasib malang atau nasib baik.” Zain mengangkat bahu dengan kata Alif.

            “Dia masih sombong macam dahulu.”

            “Mana tak sombong.” Mereka berdua pantas ketawa mengingat kembali semua yang berlaku dua bulan lalu. “Sudahlah. Balik pejabat lagi baik. Hilang rasa lapar aku.” Mereka bersetuju dan kembali ke pejabat guaman mereka semula.

            Mereka ketawa sewaktu memasuki lif dan berhenti ketawa apabila Tun Zaky turut melangkah masuk. “Apa yang lucunya dengan kamu berdua ni?”

            “Kami berdua tak lucu. Cerita yang lucu.” Mereka kembali ketawa. Tun Zaky yang cukup kenal dengan peribadi dua orang pekerja yang berdisiplin dalam mengendalikan sebarang kes itu langsung tidak menyusahkan dirinya untuk memarahi mereka berdua bila-bila masa itu kerana mereka berdua langsung tidak pernah menyimpan sebarang perasaan benci apabila diherdik walaupun di khalayak ramai.

            “Bagaimana dengan kes? Ada yang selesai?”

            “Kami berdua menunggu mahkamah bergerak sebenarnya.” Tun Zaky menggelengkan kepalanya malas dengan tingkah mereka berdua.

            “Bersyukur sangat yang kamu berdua anak kenalan rapat saya. Kalau tak dah lama, aku buang kamu berdua ni kat tepi jalan.”

            “Kenapa buang kat tepi jalan? Kenapa tak buang kat tengah jalan? Terus kena langgar.” Mereka berdua ketawa lagi di dalam lif itu. Tun Zaky malas untuk melayan kerenah mereka berdua. Mereka melangkah keluar dan menuju masuk ke dalam firma guaman mereka di tingkat 33 itu.

            “Bagaimana dengan majlis ulangtahun firma guaman ini? Dah selesai?” Alif dan Zain berpandangan sesama sendiri. Baharulah mereka sedar yang mereka benar-benar terlupa dengan majlis tersebut. “Pastinya, tak ada apa-apa yang berlaku.” Tun Zaky melangkah masuk ke ruang pejabatnya di sebelah kanan. Alif dan Zain masing-masing mengangkat bahu.

            “Tuan Alif.” Alif berundur dan menghampiri pekerja yang bertugas di kaunter pertanyaan. Zain memberi isyarat untuk masuk dahulu. Alif mengangguk. “Ada surat untuk Tuan Alif.”

            “Surat? Surat apa? Surat bank?”

            “Ya.” Alif mengambil surat itu dan membukanya sambil berjalan masuk ke dalam ruang pejabat. Zain dan Tun Zaky sudah menghilang. Alif mengeluarkan surat bank itu dan menjerit kecil.

            “Perbelanjaan teruk bulan ni.” Alif menampar kertas dan tiba-tiba sahaja dia terhumban ke depan. Surat yang dipegang melayang ke atas. Alif tertiarap di atas lantai.

            “Alamak… Minta maaf. Saya tak sengaja.” Alif yang tertiarap itu menahan rasa geram dan pantas berpaling duduk.

            “Awak memang nak…” Alif terdiam tingkah dan marahnya tiba-tiba mendadak turun sedangkan tadi bagaikan lahar Gunung Merapi yang pernah memuntahkan sisa kepanasan amarah di Kota Jawa tahun lalu.

            “Saya minta maaf…” Wanita itu sedang melutut duduk benar di hadapannya. Senyuman wanita itu seolah-olah merayu meminta maaf dengannya.

            “Kau buat apa ni, Alif? Suka hati nampak. Takkan kat pejabat kot.” Alif menoleh ke belakang. Zain tersenyum memandangnya. Alif membetulkan dirinya dan pantas bangun. Wanita yang melutut di hadapannya itu juga turut berdiri.

            “Kau buat apa kat sini?” Zain tersenyum melihat wanita itu.

            “Eh… tak sangka. Awak lagi.” Wanita itu cuba meromankan senyuman kecil kepada mereka berdua. Tidak mungkin dia dapat melupakan kejadian pada malam tersebut. Tidak sama sekali. Baju yang berharga mahal itu, begitu sayang sekali tersimpan di dalam almari tidak digunakan lagi.

            “Alif…” Alif menoleh ke belakang wanita itu apabila terdengar suara mendayu-dayu dan haruman minyak wangi yang menyengat hidung. Zain memandang Alif. “Tak sangka yang Baby boleh berjumpa dengan Alif sekali lagi. Maafkan Baby, Alif.” Alif mengeluh nafas lemah. “Baby tahu yang Baby salah. Baby janji yang Baby takkan buat lagi.” Alif menggaru kepalanya yang tidak gatal itu. Zain mengangkat bahu tidak tahu. Wanita itu berlalu pergi.

***********

            “Aku tak sempat langsung nak tanya dengan perempuan tu. Dia buat apa kat sini?” Alif menunggu surat diserahkan kepadanya. Zain pula sedang menulis di atas sekeping kertas.

            “Entah. Kau tak ada ilham ke untuk buat majlis ulangtahun firma guaman?”

            “Tak ada. Kalau ada pun, ada kat…”

            “Kundang.” Zain tahu sangat dengan jawapan Alif. Alif mengambil surat dan membaca penama surat tersebut. “Bank lagi. Matilah aku macam ni. Kalau bapa dan emak aku tahu, mampus.” Alif menghempas-hempas surat itu di tapak tangan. Dia melihat ke pintu masuk. Zain menyerahkan kertas itu kepada petugas kaunter pintu masuk itu.

            “Kalau orang tu datang, beri ni kat dia.” Petugas itu mengangguk. Zain melihat Alif memerhati di muka pintu depan. “Kau dengan Baby macam mana?”

            “Emak aku suka dia. Wanita yang memiliki ciri-ciri yang dia suka. Eh… perempuan tu kan…” Alif meninggalkan Zain. Zain menurut langkah. “Eh… Kejap.” Alif memanggil wanita itu. Wanita itu berhenti melangkah. Alif melihat wanita itu sedang mengangkat kotak dan Alif sedar yang kotak itu berat.

            “Kenapa?” Tegas suara wanita itu bertanya.

            “Kau buat apa kat sini?” Alif bertanya keras. Wanita itu menjeling malas. “Aku selalu lihat kau senang-senang sahaja keluar masuk, keluar masuk bangunan ni.”

            “Suka hati sayalah. Lagipun, bangunan ni bukannya milik awak kan…” Alif ketawa besar. Dia meletakkan tangan di bahu Zain.

            “Zain, dia kata bangunan ni bukan milik aku…” Alif ketawa lagi.

            “Awak buat apa kat sini?” Zain tidak mengendahkan kata Alif yang nampaknya benar dalam berseloroh itu.

            “Saya ada tugas kat sini untuk diselesaikan.” Wanita itu mengangkat kotak itu ke atas kerana hampir sahaja terlucut dari pegangannya. “Saya minta diri dahulu.”

            “Eh… Kau belum habis cakap lagilah. Tugas apa kat sini? Ada kes ke?” Alif tersenyum dan Zain juga turut tersenyum.

            “Ya. Kes yang awak berdua tinggalkan sebelum ini.” Wanita itu melangkah pergi tanpa memperdulikan tegahan Alif dan Zain.

            “Mengada betullah perempuan tu…” Zain memandang Alif.

            “Takkan dia nak kena lagi…” Zain melirik pandang kepada Alif. Alif tersenyum mengangguk.

            “Bagaimana dengan majlis ulangtahun firma kita?” Alif dan Zain berpaling ke belakang. Tun Zaky menghampiri mereka berdua. “Apa cerita? Tak selesai lagi?”

            “Bukan tak selesai cuma Tun Zaky…”

            “Banyak main sahaja. Benda remeh temeh, memang kamu tak nak buat pun… Sejak zaman prasekolah lagi.” Tun Zaky mematahkan kata Zain. “Macamlah saya tak kenal dengan kamu berdua ni.”

            “Bukan apa Tun Zaky. Kami berdua sibuk sangat-sangat. Banyak kerja nak buat. Kes melambak-lambak.” Tun Zaky menggelengkan kepalanya. “Tak bolehkah, minta tolong orang lain atur majlis tersebut?” Alif memberikan cadangan. Zain menyokong cadangan tersebut. Tun Zaky menarik nafas malas.

            “Tak habis-habis…” Tun Zaky melangkah pergi. Alif dan Zain saling tuduh menuduh sesama sendiri namun mereka masih seperti dahulu. Tak kisah dengan benda yang bukan kerja mereka.

***********

            “Tak sangka yang Baby boleh jadi pengacara malam tu. Seronok sangat.” Baby meletakkan tangannya di bahu Alif dan sesekali menarik-narik tali leher Alif. Alif malas untuk membantah. “Ibu Alif kata, bila Alif nak melamar Baby?” Bulat mata Alif memandang Baby yang tersenyum manja kepadanya itu yang sedang duduk dalam pangkuannya itu.

            “Tengoklah. Macammana…”

            “Tengoklah macammana?” Baby menolak Alif. Baby berpaling pergi. “Baby akan beritahu dengan Ibu.” Alif mengangguk malas.

            “Buat sakit hati sahaja.” Alif menyeka mukanya. Zain melangkah masuk tanpa diundang.

            “Apa yang sakit? Aku nampak Baby keluar sambil menghentak-hentakkan kasut tumit bernilai ratusan ringgit itu.” Alif menyandarkan dirinya di kerusi empuk itu. “Kau pergi malam amal esok malam?”

            “Pergilah.” Zain tersenyum kecil. “Kau pergi tak?”

            “Pergi. Ada musuh aku datang malam tu. Aku nak tonyoh-tonyoh muka dia.”

            “Ahmad?” Zain mengangguk. “Mesti Hasimuddin datang…”

            “Lah… Takkan kau tak kenal.”

            “Kenal tapi bukan kenalan. Usahawan muda berjaya konon. Alah… bangunan tempat dia menyewa tu bukannya dia punya pun.”

            “Tapi akan jadi dia punya, lepas bapa kau setuju jual bangunan tu dengan dia…”

            “Aku dah kata dengan bapa aku. Dia tu penipu.”

            “Tak ada bukti.” Zain berdiri. “Datang sendiri ke?”

            “Kau ambil aku. Alah… Baby tu pandailah datang sendiri. Mereka lelong apa malam tu?” Zain mengangkat bahu tidak tahu.

***********

            “Hairan juga aku tengok dewan ni. Hiasannya semacam. Protokol habis.”

            “Kan dah malam amal. Nak buat macam mana? Meja kita kat sana.” Alif dan Zain duduk di tempat yang disediakan. Tun Zaky meluru masuk dan duduk di sebelah mereka. “Datang seorang nampak.”

            “Dia ada majlis lain.” Tun Zaky menjawab yang mengerti maksud Alif itu. “Cantik juga dewan ni dihias oleh penghias jemputan khas. Yang kamu berdua…”

            “Macam biasa. Masih mencari mangsa.” Alif ketawa dengan jawapan Zain. “Hasimuddin.” Alif menoleh ke belakang. Hasimuddin tersenyum dengan mereka berdua namun jelingan yang diterima.

            “Ahmad kat sana…” Zain melihat arah yang ditunjukkan oleh Alif.

            “Apa salah Hasimuddin dan Ahmad dengan kamu berdua?” Zain dan Alif pantas melihat ke arah Tun Zaky. Mereka tidak memberikan sebarang jawapan. Majlis diteruskan sehingga hampir dua jam lamanya. Begitu banyak sekali barang yang berharga murah menjadi harga ratusan ringgit dalam acara lelongan itu. Wang tersebut akan disalurkan ke badan-badan kebajikan yang telah ditetapkan setiap barang yang berjaya dilelong.

            “Baiklah… Malam ni, saya rasa saya juga nak membantu menyalurkan sumbangan kepada badan persatuan para ibu tunggal seluruh Malaysia.” Alif menjeling malas dengan bicara teman wanitanya di atas pentas yang begitu menjelakkan itu. “Siapa yang sudi menaruh wang taruhan yang tinggi akan berjaya keluar makan malam dengan saya. Bagaimana? Setuju?” Majlis itu bising dengan gelak tawa. Dan mulanya masing-masing meletakkan tawaran sehingga tawaran itu bernilai RM 20 ribu.

            “Kau tak nak letak taruhan?”

            “Buat apa? Kalau aku tiap-tiap malam makan dengan dia. Muntah sahaja tak. Pasal dia lah, perbelanjaan bulanan aku semakin meningkat.” Zain ketawa dengan kata Alif. “Padan dengan dia. Memang bagus sangat dia makan malam dengan lelaki perut buncit tu.” Sekali lagi Zain ketawa.

            “Saya dengar, Ahmad dan Hasimuddin bertengkar mengenai projek lepas. Hinggakan projek itu terlepas.” Bisik Tun Zaky.

            “Patutlah mereka nampak macam berbalah.” Jawab Alif dan Zain serentak.

            “Emm… nampaknya ada sebuah persatuan lagi memerlukan sumbangan pada malam ini. Tetapi barang lelongan dah habis. Bagaimana?” Alif dan Zain berpandangan sesama sendiri. Zain tiba-tiba sahaja menunjuk ke belakang Alif. Alif menoleh dan terpandang Hasimuddin yang menjeling kepadanya. Alif tidak mengendahkan tindakan itu tetapi lebih berminat melihat arah yang ditunjukkan oleh Zain.

            “Perempuan tu.” Mereka berpandangan sekali lagi dan tersenyum. Alif pantas memanggil petugas agar memberikan pesanan kepada Baby. Petugas itu mengangguk dan segera menghampiri Baby. Baby mengangguk.

            “Baiklah. Kali ini kita tengok samaada tawaran sumbangan itu semakin tinggi ataupun tidak kerana sesiapa yang berjaya akan dapat makan malam dengannya. Lampu.” Lampu dipadamkan dan sebuah lampu menyala dan pantas sahaja menyuluh ke bahagian belakang dewan. Seorang wanita menutup matanya dengan tangan agar tidak tersilau oleh lampu tersebut. Semua mata memandang ke belakang. “Dialah orangnya. Sila naik ke pentas.”

            “Kenapa boleh jadi macam ni?” Tun Zaky bertanya dengan Alif dan Zain. “Majlis ini semakin teruk jadinya.” Wanita itu ditarik untuk naik ke atas pentas. “Ridha…” Alif dan Zain berpandangan setelah melihat wajah Tun Zaky yang berubah riak itu.

            “Siapa yang mula nak buat tawaran? Apa kata kalau kita mulakan dengan nilai RM 1.” Baby ketawa melihat penampilan wanita itu.

            “RM 1 ribu.” Hasimuddin bersuara meletakkan tawaran. Alif berpaling memandang Hasimuddin. Hasimuddin tersenyum kepadanya. Alif mendengus malas.

            “RM 10 ribu.” Baby menoleh ke kiri dewan. Zain turut menoleh. Ahmad bersuara memberikan tawaran.

            “RM 15 ribu.” Hasimuddin menambah tawaran.

            “RM 20 ribu.” Alif dan Zain berpandangan sesama sendiri tidak percaya dan sesekali melihat pentas. Baby melopong besar apabila Hasimuddin melawan nilai Ahmad dan Ahmad juga turut melawan nilai Hasimuddin. Wanita itu pula terdiam tingkah.

            “RM 100 ribu.” Nilai tertinggi ditetapkan oleh Hasimuddin. Ahmad menoleh kepada Hasimuddin. Alif dan Zain berdiam diri. Tun Zaky mengeluh malas.

            “RM 150 ribu.” Tersentak Alif mendengarnya.

            “Memang benar pergaduhan mereka berdua.” Zain berbisik ke telinga Alif.

            “RM 200 ribu.” Hasimuddin menambah nilai.

            “Kenapa mereka sanggup menghabiskan wang semata-mata untuk makan malam dengan perempuan tu? Apa yang mereka boleh dapat?” Zain mengangkat bahu. Alif menolah ke arah Hasimuddin dan Zain pula menoleh ke arah Ahmad. Fikirannya galak memikirkan situasi itu. Mungkinkah mereka berdua sekadar untuk menunjukkan siapa yang lebih hebat ataupun mereka mengetahui siapa sebenarnya perempuan yang sengaja dipertaruhkan olehnya dan Zain itu. Malah Tun Zaky juga semakin rimas dengan keadaan yang berlaku di majlis amal malam ini.

            “RM 250 ribu.” Wanita itu memandang Baby yang mula merasa marah. Nilainya cuma RM 20 ribu sahaja tetapi nilai wanita yang tidak seberapa itu terlalu tinggi sekali. Mikrofon yang dipegang mula mengeluarkan bunyi nyaring.

            “RM…”

            “300 ribu…” Alif memotong kata. Zain melihat Alif. Entah mengapa, pantas sahaja mulutnya menyebut nilai tersebut. Hasimuddin dan Ahmad berdiam diri.

            “Alif…” Baby menjerit marah dan membaling mikrofon di atas pentas. Wanita itu memandang sahaja Baby melangkah turun dari pentas.

***********

            “Habis duit aku untuk tahun ni. RM 300 ribu. Menyesal betul aku…” Alif menggaru kepalanya rimas. Zain ketawa tidak berhenti. Hasimuddin tersenyum-senyum melirik ke arahnya. “Semua pasal lelaki bodoh tu.”

            “Yang kau gatal lepas cakap tu, kenapa?” Alif memandang Zain dan Alif malas untuk bertekak. Jelas benar yang dia salah. Hasimuddin menghampiri mereka berdua.

            “Tahniah.”

            “Bukan tahniah sebenarnya yang kau nak kata. Takziah.” Hasimuddin tergelak kecil.

            “Aku sebenarnya, ingin sangat nak makan dengan wanita itu.” Alif dan Zain memandang di belakang Hasimuddin. Ahmad menghampiri. Hasimuddin menjeling malas.

            “Kenapa pula?” Zain bertanya malas.

            “Siapa yang tak kenal dengan wanita itu? Hanya orang bodoh sahaja yang tak tahu.” Alif dan Zain berpandangan sesama sendiri. “Tahniah sekali lagi.” Hasimuddin berpaling pergi. Ahmad hanya tersenyum.

            “Semoga maju jaya.” Baby menghampiri Alif. Ahmad tersenyum kepada Zain. Zain menjeling sinis.

            “Kenapa Alif?” Alif tidak menjawab sebaliknya menghampiri wanita itu yang sedang berbisik dengan salah seorang petugas pada malam ini. Baby menghentak-hentakkan kakinya ke lantai. Zain tidak mengerti dengan yang berlaku terhadap Alif malam ini.

            “Eh…” Wanita itu berpaling dan tersenyum. “Bayar balik duit saya. RM 300 ribu…”

            “Wang itu untuk sumbangan kepada anak-anak yang menghidap penyakit epilepsi.” Alif menarik nafas dalam.

“Peduli apa aku dengan semua tu. Apa yang aku tahu, aku tak nak makan malam dengan kau. Beri balik duit aku. RM 300 ribu.” Tegas Alif. Wanita itu tersenyum kecil.

“Tak apa. Nanti saya akan bayar balik dengan Encik Alif.” Wanita itu berpaling pergi. Alif menarik tangan wanita itu. Wanita itu tertoleh semula. Namun segala-galanya mematikan seluruh minda lelaki Alif. Wanita itu tersenyum kepadanya. Kata yang pernah dilafazkan oleh wanita itu pertama kali menyangkal segala kata marah lantas bergema di mindanya. Semuanya senyap. Masa juga turut berhenti. Segala-galanya. Dunianya mungkin sahaja selalu diintai oleh wanita itu tanpa disedarinya. Tetapi, malam ini. Dia terasa dunianya telah diteroka hebat oleh wanita itu.

***********

            “Sejak kau makan malam dengan dia, hidup kau nampak bahagia sangat. Senyum memanjang…” Alif mengulum senyumnya. Memang benar kata Zain itu. “Siapa namanya? Aku tak pernah tahu namanya.”

            “Ridha Shufi.”

            “Ridha Shufi. Cantik nama itu. Tapi yang peliknya, dia tu macam tak make-up. Mukanya pucat lesi. Macam bukan manusia.” Zain memberikan pendapat tentang wanita itu yang dilihatnya menerusi matanya. “Kurus dan tak terurus.”

            “Ya. Tapi, ada sesuatu yang membahagiakan aku apabila aku memikirkannya.”

            “Nampaknya, kau dah jatuh cinta dengan dia.” Alif tertawa dengan kata Zain itu. Biarlah dia simpan sahaja semuanya di dalam hati. Zain mengerti dengan tingkah rakan karibnya itu.

***********

            “Baby kata Alif dah tak pedulikan dia. Baby kata lagi Alif dengan seorang perempuan. Ibu tak suka kalau Alif berkawan dengan perempuan lain. Baby tu dah padan sangat dengan Alif.” Alif menggelengkan kepalanya dan melangkah keluar. Sepasang kaki lebih pantas berlari pergi.

***********

            “Majlis ulangtahun firma?” Tun Zaky memandang Zain dan Alif.

            “Semuanya dah beres. Tinggal acara sahaja untuk ditetapkan.” Jawab Zain malas dengan pertanyaan Tun Zaky. “Alif dah atur segala-galanya. Dia kan bersemangat sangat-sangat semenjak keluar makan malam.”

            “Nampak sangat menyindir. Tun Zaky jangan risau.” Alif tersenyum manis kepada Tun Zaky.

            “Ingat.” Mereka berdua serentak mengangguk dan Tun Zaky berlalu pergi.

            “Aku nak bawa Ridha sekali malam itu. Aku nak dia jadi teman aku. Dan malam itu, aku akan nyanyi puisi yang aku karang untuk dia.” Zain ketawa dengan kata Alif mendadak itu.

            “Sejak bila pula kau jadi mamat jiwang ni?”

            “Jadi Anuar Zain, Imran Ajmain tu mamat jiwanglah.” Zain mematikan tawanya. “Aku dah buat semuanya. Khas untuk dia.”

            “Baby?”

            “Lantaklah dengan dia… Aku bukannya suka sangat dengan dia tu. Merimaskan…” Zain menjuihkan bibirnya ke depan. “Cuma, aku hairan. Aku telefon Ridha, dia langsung tak angkat. SMS tak balas. Dah dua minggu aku tak jumpa dia. Janji nak jumpa dia malam tu tapi aku tunggu, dia tak sampai-sampai. Telefon pun tak jawab. Kenapa?” Zain mengangkat bahu tidak tahu. Alif menarik nafas dalam. “Takkan dia masih marah dengan aku. Aku dah minta maaf dengan dia pasal kejadian kat Labuan hari itu.” Tiada sebarang jawapan daripada Zain mahupun Alif sendiri. Persoalan itu mati di situ sahaja.

***********

            “Ridha…” Alif menarik tangan perlahan. Wanita itu tersenyum kecil. “Kenapa? Awak mengelak dari saya ke?” Alif melepaskan pegangannya. Wanita itu tunduk resah.

            “Tak apa-apa. Cuma saya sibuk sahaja. Maafkan saya.” Alif menarik nafas dalam.

            “Ya. Saya mengerti awak sibuk. Tapi, berilah sedikit waktu untuk saya.” Alif cuba memujuk wanita itu namun hanya senyuman sahaja terukir di bibir wanita itu. Alif menarik nafas dalam. “Saya nak bawa awak pada malam ulangtahun firma guaman saya. Saya nak awak jadi teman saya.” Alif merenung jauh ke dalam mata wanita yang cuba dikenalinya itu.

            “Maafkan saya. Saya tak boleh.” Wanita itu menggelengkan kepalanya dan berpaling pergi. Alif sekali lagi memegang tangan wanita itu.

            “Apa salah aku? Beritahu dengan aku, Ridha.” Alif menjerit nyaring. Tubuh wanita itu bergetar hebat. “Apakah kesalahan aku sampai kau menyisihkan aku dari hidup kau? Aku cuba membuka pintu dunia aku untuk menerima dunia kau. Aku cuba melakukannya. Tetapi apa yang aku dapat. Kau sengaja untuk memain-mainkan perasaan aku, Ridha. Aku menyesal.”

“Maafkan saya. Maafkan saya.” Wanita itu menarik perlahan tangan dari pegangan Alif. Alif terpaksa melepaskannya. Wanita itu berpaling pergi dan terlalu sukar untuk Alif meletakkan harapan dihatinya bahawa wanita itu akan menoleh memandangnya semula.

“Apakah kesalahan aku?” Alif tidak mampu untuk memberikan jawapan kepada pertanyaan itu. Langkah wanita itu membuatkan dia terasa luka mengalir di hatinya.

***********

            “Ridha.” Wanita itu berpaling dan tersenyum kepada Zain. “Alif benar-benar cari awak. Puas dia cari awak. Kenapa?”

            “Saya tahu. Maafkan saya.” Zain merenung wajah Ridha yang sentiasa tampak kurang sihat itu. “Bukan saya tak nak berjumpa dengannya. Cuma saya rasa, saya tak patut untuk berjumpa dengannya.” Zain tidak mengerti dengan jawapan wanita yang tidak begitu dikenalinya itu. “Katakan kepadanya, saya minta maaf.” Wanita itu berlalu pergi. Zain tidak menegahnya walaupun dia sukar untuk melepaskannya setelah mendengar bicara wanita itu kepadanya.

***********

            “Dia takkan datang. Dia takkan datang. Aku dah hubungi dia berkali-kali.” Zain membisu. “Terus-terang, aku cintakan dia. Pertama kali, aku merasakannya. Perasaan ini benar-benar menguji hidup aku sebagai seorang lelaki.” Zain tetap membisu. “Aku ingin nyatakan perasaan aku kepadanya malam ini.”

            “Sabarlah. Berdoa. Insya-Allah. Andai kau ada jodoh dengan dia. Kau pasti akan bersama dengannya.” Zain cuba memujuk hati Alif.

            “Tuan Alif.” Alif dan Zain berpaling melihat seorang pengawal keselamatan menghampiri mereka. “Ada surat untuk Tuan Alif.” Alif mengambil dan mengucapkan terima kasih kepada pengawal keselamatan tersebut. Alif mengoyak sampul surat dan mengeluarkan sekeping cek.

            “RM 300 ribu? Cek bernilai RM 300 ribu.” Berkerut dahi Zain mendengarnya. Alif mengeluarkan sekeping kertas lagi. Dia membuka lipatan kertas itu dan membacanya. Zain menunggu tingkah Alif. “Ridha. Kenapa?” Zain melihat Alif menahan rasa hampa hatinya. Cek direnyuk kasar. Zain menarik nafas dan menyentuh bahu Alif.

***********

            Alif memanjat tangga pentas dan menuju ke sudut yang meletakkan piano. Zain tidak tenang dengan duduknya. Alif duduk berdepan dengan piano. “Sebenarnya saya…” Alif membetulkan mikrofon. Nafasnya kedengaran menerusi corong mikrofon. “Malam ini, saya ingin menyampaikan sebuah lagu puisi yang menyatakan rasa hati saya kepada seseorang yang membuatkan saya merasakan bahawa kebencian bukanlah sumber kebahagiaan. Namun, kata pisah tanpa melafazkan cinta membuatkan angan yang diimpikan tidak akan tercapai oleh jiwa yang khayal. Saya takkan mainkan lagu yang saya karang itu.” Alif menarik nafas sekali lagi. “Lagu yang akan saya nyanyikan adalah sebuah lagu dari artis yang saya minati iaitu Imran Ajmain. Tajuknya Apa Salah Beta.”

            Alif tunduk dan menarik nafas. Dia menyentuh papan piano dan mula memainkan muzik dan menuturkan lirik lagu yang baharu sahaja didengarnya petang tadi tanpa diduganya itu sama seperti yang berlaku kepada dirinya ketika ini. Isi kata wanita itu di dalam surat yang diterimanya berombak deras dimindanya.

            -Maafkan saya andai kehadiran saya hanya akan mengundang nestapa buat awak. Namun tiada upaya dapat saya lakukan hanya terpaksa saya berundur diri. Saya tidak mampu menerima getar cinta hati awak yang semakin dapat saya rasakan rentaknya. Andai masa memberikan saya waktu, akan saya selam sehingga ke dasar perasaan awak. Tetapi, masa itu tidak memberikan saya untuk berjanji sebagai kekasih buat diri awak. Maafkan saya. Dunia awak adalah sebuah dunia yang ingin saya miliki. Ikhlas doa dari saya, Ridha Shufi.-

***********

            Kaki melangkah kemas memijak tangga setelah telinga menangkap suara sayu bersama alunan muzik yng bertanya pada pertanyaan yang tidak akan mampu diberikan jawapan sampai bila-bila. Hujan menyembah bumi malam itu. Kaki terus sahaja melangkah menyeberang jalan dan cahaya terang bulat menerpa ke dalam mata dan hujan yang membasah itu seolah terpelanting turut jatuh bersama menimpa ke tubuh yang terbaring basah di jalan raya. Mata terpejam rapat.

***********

            Alif menyentuh tanah yang berkepul-kepul itu. Bunga yang ditabur disentuh perlahan. Tiada airmata. Pertemuan yang singkat itu telah memberikan kebahagiaan buatnya. Sikap pentingkan diri mengakhiri segala-galanya. Kenapa terlalu lambat untuk dia mengikis sikap itu? Dan kenapa dia harus dipertemukan dengan insan yang tidak mampu menanti sehidup semati dengannya?

            Zain menyentuh bahu Alif. Alif berdiri dan menarik nafas dalam. Hujan lebat itu membasahi seluruh tubuh. Payung yang dipegang oleh Zain tidak mampu meneduhkan hati Alif. Mereka melangkah masuk ke dalam kereta. Alif membisu.

            “Maafkan aku.” Alif menoleh kepada Zain. “Inilah pertama kali aku berbohong dengan kau.” Alif masih memandang Zain. “Sebenarnya, Ridha tidak mungkin dapat hidup bersama dengan kau walaupun hakikatnya…” Zain merenung Alif.   

“Semuanya dah terlambat untuk dijelaskan.” Zain mematikan katanya.

            “Maafkan aku.” Zain menarik nafas dalam dan menghidupkan enjin kereta. Hujan terus sahaja menimpa bumi. Zain menghentikan keretanya setelah melihat lampu merah bernyala.

            Alif memandang skrin besar yang terpampang di kota bandar. Sudah melepasi angka lapan. Berita sedang ke udara. Hujan sudah berhenti. Mata Alif memandang skrin. Wajah Ridha terpampang di kaca skrin besar itu. Alif pantas menurunkan cermin jendela kereta. Suara skrin itu bergema di telinganya.

            “Ridha Shufi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kundang awal pagi tadi. Allahyarhamah merupakan salah seorang penyumbang terbesar dana bagi persatuan penyakit epilepsi negara. Beliau yang disahkan menghidap epilepsi sejak kecil itu merupakan seorang tokoh yang pernah dianugerahkan Belia 1Malaysia baru-baru ini adalah satu kehilangan besar buat negara.” Alif tergamam mendengar bicara pembaca berita itu membuatkan setitis airmatanya jatuh tanpa dapat dibendungnya lagi.

royal rmarm,

PERWILA, Labuan.

(RAFIDAH MOHAMAD) – ratudewanaperwila@gmail.com

Terima kasih kepada lagu dendangan Imran Ajmain, ‘Apa Salah Beta’ dan Adinda Alif yang disayangi kerana telah memberikan ilham menyudahkan cerpen ini.

Klik VERSI PDF

Sumber : Buku Antologi 22 Cerpen Borneo Pilihan 2012

Editor : Adella Azizah Maharani

”The ”The ”The ”The

Tinggalkan Balasan

ArabicEnglishIndonesianMalay
%d blogger menyukai ini: