MENTAFSIR MIMPI

MENTAFSIR MIMPI

Cerita Pendek : DAHIRI SAINI

BERADA dalam lingkungan pemara yang berukuran 6 meter persegi amat menyakitkannya. Pergerakannya amat terbatas. Keakraban dengan anak-anaknya sudah semakin rengang semenjak dia dikurung dalam pemara itu. Cuma sesekali anak bongsunya, Nur Fahamim menjenguknya, itu pun dari jauh. Dia terlalu ingin nak membelai rambut mereka. Dia sudah terlalu rindu nak memeluk kedua-dua anaknya. Bila dia menyuarakan kepada ayahnyakeinginannya. Ayahnya memujuk begini; “Jangan kau sakiti mereka, Zib. Kasihanmereka.” Dan kata-kata itulah yang membantutkan keinginannya.

Dia mengakuri penampilannya dari hari ke hari dengan wajah yang cengkuas kelesuan. Bulu-bulu di mukanya tidak pernah dicukur. Rambutnya melepasi bahu, liar serta kenjur. Untuk apa dia mengemaskan diri, kalau alur mindanya sering diasak aliran halusinasi yang maha kompleks. Cuma ibunya yang mengerti hati dan perasaannya.

Dia masih ingat pertama kali skizofrenia menyerangnya. Ketika itu dia baru pulang bercuti ke kampung. Dia berasa kepalanya berdenyut-denyut. Dalam perkiraannya, mungkin dia cuma pening sedikit sahaja, memandangkan cuaca tidak menentu. Paginya, kepalanya kian memberat. Dia dibawa ke klinik. Setelah diperiksa dengan teliti doktor yang merawatnya, doktor mengesahkan dia diserang gangguan neurosis obsessi. Dia semacam tidak percaya apa yang doktor katakan kepadanya. Dia bertanya kepada ayah dan ibu salasilah keturunannya. Ayah dan ibunya diam membisu. Setelah dia mendesak, akhirnya ibunya mengatakan sebelah datuknya ada mengidap penyakit seperti memecilkan diri, hilang nilai kasih sayang serta cenderung dalam angan-angan. Kata ibunya lagi, mereka menamakan keadaan seperti itu diusik kenangan. Ya Allah bagai nak pecah otaknya menerima keterangan ibunya.

Hari-hari seterusnya dia cuba melakukan kajiannya tentang skizofrenia dalam hubungannya dengan salasilah keturunan, antara risiko, kesan dan pelakuan si pengidapnya. Atas alasan pelakuannya agak membimbangkan, seperti merungut, meraung malah sampai mencederakan orang, dia diberhentikan kerja. Alasan mereka, dia tidak normal. Perkataan yang paling dibencinya.

Berada dalam pemara begitu membosankannya. Lebih-lebih lagi apa yang hendak lakukannya, semuanya terbatas. Dia diperlakukan seperti banduan gila! Lelaki tidak siuman, kata mereka. Sejak dia mengamuk ketika dia dimandikan oleh isterinya. Dia ada alasan mengamuk. Dia benci mendengar kata-kata orang mengatakan dia gila dan dalam arus angan-angan.

Dia semakin bingung dengan kekerapan rangsangan skizofrenia yang dihidapinya. Apa yang dapat dirasakannya, dia terheret dalam halusinasi yang kronik. Apa pun alasannya, dia sudah dilebelkan tidak siuman. Atas persetujuan keluarganya, dia dikurung demi keselamatan orang ramai dan dirinya sendiri.

Apa yang menyedihkannya, dia tidak dibenarkan berbual-bual dengan kedua-dua anaknya, Mohd Ad dan Nur Fahamim. Cuma yang selalu menjenguknya, ayah dan isterinya. Sedangkan ibunya yang lumpuh hanya terdengar suara lirihnya sahaja memujuknya supaya bersabar menerima qada dan qadar Tuhan.

Pernah suatu ketika ibunya menyuapkan makanan untuknya dengan susah payah kerana kekangan kelumpuhan. Namun demi kasih sayang pada dirinya, ibunya sanggup melakukannya. Atas rasa simpatinya pada ibunya. Dia tidak sanggup membebankan ibunya setiap hari. Selepas kejadian itu, ibunya sebulan lebih dikekangi lenguh yang menyukarkannya bergerak.

Melihat susuk tubuhnya pasti orang menyangka dia mayat hidup. Bentuk fizikalnya cukup mengerunkan. Kedua-dua bola matanya terjerlus ke dalam. Pipinya kempung. Bibirnya kering mengelupas. Seluruh kulitnya ditumbuhi pelagra yang kritikal. Kuku kaki serta tangannya panjang menghitam, sebab bila rangsangan skizofrenia itu datang mengasak, mindanya menjadi kegeraman yang kronik. Maka dia akan mencengkam apa sahaja objek di hadapannya. Dia mencakar dengan kuku kayu yang mengurunginya. Perlakuan itu berlarutan hingga beberapa jam, baru rangsangan itu mengendur dengan sendirinya.

Selepas pelakuan itu, seluruh sendi-sendinya berasa lenguh dan lemah sekali. Segala tenaganya sirna terus. Selepas itu, baru dia merasakan emosinya tenang. Sememangnya, dia tidak dapat mengingat apa yang berlaku kepada dirinya. Bila perasaannya menjadi normal. Dia tahu siapa dan di mana dia dan kenapa dia dikurung. Proses itu berlanjutan terus dalam dirinya.

Dia takut rangsangan skizofrenia semakin serius menyeluti dirinya. Ketakutan itulah yang bercempera dalam dirinya. Dia berasa kasihan kepada kedua-dua anaknya. Apa yang mereka tahu tentang keadaan yang berlaku pada dirinya. Apa yang dikatakan orang, begitu juga tanggapan mereka terhadapnya. Dia semakin benci pada hidupnya. Dia takut virus skizofrenia membiak kepada kedua-dua anaknya.

Terasa hari-hari yang dilaluinya detik yang mencemaskan. Apatah lagi, sejak kebelakangan ini, rangsangan skizofrenia itu agak kerap berlaku. Dia takut peristiwa yang berlaku kepada isterinya, berlaku kepada kedua-dua anaknya. Dalam rangsangan skizofrenia yang kronik itu, dia tidak dapat mengawal apa yang dilakukannya. Perlakuan yang begitu kejam dan ganas sekali. Dan untuk menjangkakan waktu rangsangan skizofrenia itu berlaku sukar nak ditentukan. Waktunya tidak ketentuan.

Berada dalam pemara cukup meresahkannya. Untuk mengatakan dia benar-benar normal, kewajaran yang terlalu sukar dipercayai. Malah kesan parut di lengan dan pangkal paha isterinya serta bekas ragutan di bahu ayahnya satu bukti skizofrenia itu fenomena yang meresahkannya.

Bagaimana jika ada kesan virus skizofrenia dalam tubuh kedua-dua anakku? Kasihan isteriku. Apakah isteriku dapat menerima hakikat ini? Gumaman itu bergelandangan terus dalam dirinya. Dia kasihan melihat isterinya dengan boyotan perutnya yang kian hari kian membesar. Sedangkan kesetiaannya tidak pernah sirna. Dia masih ingat satu petang, isterinya memberitahunya bahawa dia sudah mengandung lagi. Kelopak matanya dilurui manik-manik jernih. Ketika itu, isterinya menggenggam erat tangannya seraya berkata; “Bersabarlah, bang. Walaupun di mana kita berada, namun kasih sayang itu tetap akrab dan mesra dalam diri Nirma, bang.” Seperti ketika itu, dia dihujami batu-batu tajam menyusuk ke dadanya.

Betapa ganas dan kejamnya ketika dia dalam rangsangan skizofrenia itu, namun isterinya tetap tidak cuak menghampirinya atau menyuap makan dan minumnya. Dia kagum dengan ketabahan dan keluhuran kasih sayang isterinya selama ini.

Dia tidak tahu, mengapa tidak ada lagi nilai kasih sayang, bila sarafnya disendati getaran yang bersinambungan membentuk ledakan kepungkasan, lalu dia terdorong untuk memberontak. Dia cuba mengawal diri, namun dia gagal. Apa sahaja objek yang dilihatnya dalam bentuk getaran yang berasakan cuba menyerkupnya, sebab itu dia bertindak ganas dan kejam untuk melarikan diri dari getaran itu. Selepas rangsangan skizofrenia itu mengendur, dia kesal apa yang dilakukannya. Setelah itu dia menjadi pemurung yang perasa.

Azan isya baru sahaja berlalu. Dia tidak tahu kenapa sampai begitu sekali ayah dan isterinya kecuali ibunya yang lumpuh. Di mana ayah dan isterinya. Sudah lupakah mereka dengannya yang kelaparan dan kehausan dalam pemara ini? Dia pun berapa pelik, tidak seperti selalunya. Dari pagi hingga ke lewat malam, tidak seorang pun dari mereka menghantar makanan serta minuman kepadanya. Suara kedua-dua anaknya juga tidak kedengaran seperti selalu. Kalau tidak, ada sahaja karenah mereka meminta sesuatu dari isterinya.

Meskipun dia jarang sekali dapat mengusap kedua-dua mereka. Namun kemesraannya tidak pernah sirna. Pernah satu ketika Nur Fahamim datang dekat kepadanya. Nur Fahamim merenungnya dengan sayu bertanya khabar. Dia benar-benar terdera ketika itu. Dia mengusap dan mengucup dahi Nur Fahamim. Dia memeluk Nur Fahamim yang dipisahkan oleh jeriji kayu yang mengurungnya.

Tiba-tiba suara ayah dan isterinya memekik mendadak sekali supaya dia melepaskan pelukannya. Isterinya menangis. Dia terkaku dengan salah anggap mereka kepada dirinya. Namun dia maklum, kalau rangsangan skizofrenia kambuh, pasti Nur Fahamim menjadi sasarannya.

Dia melepaskan pelukannya. Nur Fahamim berlari mendapatkan isterinya. Ketika itu dia seperti tertancap sembilu menusuk sukmanya. Dia memujuk hatinya, mengatakan tindakan ayah dan isterinya wajar demi keselamatan anaknya.

Dia tidak mengerti mengapa skizofrenia berselut dalam dirinya. Apakah skizofrenia itu bakal menjerluskannya ke rahang kematian yang terkutuk dan tercela?

Merenungi pinggan kosong yang kering dan terbiar di sudut pemara mengundang laparnya. Sedangkan rekongnya terasa perit dan pahit tatkala dia menelan air liur basinya. Tubuhnya tergigil kelaparan. Ombak kemarahannya menggelegak. Dia cuba berdoa semoga rangsangan skizofrenia tidak menguasai mindanya. Mengikut apa yang dikajinya, kalau sampai dua atau tiga minggu rangsangan skizofrenia tidak kambuh, bermakna ada 60% untuk normal seperti sediakala. Itu pun belum ada kajian yang khusus tentang kesahihannya. Sekurang-kurangnya hatinya tenang dan tenteram seketika. Insya-Allah, hanya kalimat itu terlafaz dalam hatinya. Itulah harapannya, meskipun dia tahu ia terlalu tipis sekali.

Apa yang membimbangkannya, dia takut hati dan perasaannya disendati kemarahan yang mendadak kerana kelaparan. Faktor itulah yang membentuk rangsangan skizofrenia untuk kambuh. Bila kesan kemarahan memuncak, sarafnya tidak berfungsi merakam memori ingatan, lalu tercetuslah rangsangan-rangsangan yang bercelaru dan sarat, lalu terbentuklah skizofrenia yang kronik.

Menyoroti kegelapan cukup melemaskan rasanya, ditambah lagi hurungan nyamuk yang menjentik-jentik telinganya. Alangkah tergamaknya ayah dan isterinya. Kepada ibunya, dia lebih maklum sememangnya, ibunya tidak dapat berbuat apa-apa kerana kelumpuhan yang mengekanginya. Kedua-dua anaknya, kenapa tidak terlintas alur fikir mereka kelaparan ayahnya ini.

Malam terus mengelunsur. Namun perlaluan yang menyiksakan ini cukup menggarit-garit sakit hatinya. Menyoroti warna malam yang likat seperti melalui gelapnya hari-hari yang mendatang dalam hidupnya. Kedinginan menancap perlahan-lahan seluruh tubuhnya. Dia menggosok-gosok kedua-dua telapak tangannya untuk menerbitkan haba kepanasan, meskipun cuma beberapa saat sahaja wap kepanasan terbit dari perbuatan itu.

Ngongoian ulat tanah bersinambungan menyeluti telinganya. Dia bersandar pada jeriji pemara yang melingkunginya. Setelah sekian lama, dia berdiri mengadap rumah limas tua yang masih gelap.Hurungan nyamuk semakin berkerumun. Dia cuba mengejip-gejip kelopak matanya agar dapat menelusi serta sebati dengan kegelapan. Rengat mula menjalar seluruh kulitnya. Dugaan apakah segetir ini, ya Allah! Gumamnya. Dia merasakan sarafnya mula tegang dan terganggu. Dia tidak dapat membendung rasukan kemarahan yang mula menembusi alur fikirnya.

“Hei, persetan! Betina sundal! Aku lapar ni, tau tak? Bentaknya, sambil dia merengkuh jeriji pemara. Dia berasa semacam kesan yang luar biasa meresapi dirinya. Alur fikirnya menjadi sekosongnya. Memori ingatan yang tersimpan dalam sistem otaknya sirna setuntasnya. Dia seperti melihat wajah ibunya yang dalam ketenatan, sedangkan wajah ayahnya seperti menyimpan seribu rahsia yang sukar ditafsiri.

Kedinginan memeluk susuk tubuhnya. Sendi-sendinya seperti kekejangan menahan kelaparan. Dia menggoncang-goncang jeriji pemara yang melingkunginya. Dia seperti bercakap pada seseorang. Untuk beberapa ketika, dia meraung seperti tarzan lalu menangis, kemudian baru dia termenung semula.

Dia melihat lintukan api pelita yang suram bergerak-gerak mendekatinya. Dari lenggoknya, dia dapat mengecam isterinya yang berjalan terhenjut-henjut kerana mengimbangi boyotan perutnya yang semakin membesar. Dia merenung tangan isterinya yang menjinjing bekas makanan dan minuman.

“Maafkan Nirma, bang. Kami dari rumah sakit. Ibu pengsan setelah terjatuh dari katil pagi tadi dan…” Suara isterinya, Nirma bergetaran. Dia menanti lanjutan kata-kata dari isterinya. Isterinya menyambung semula; “Ibu belum sedarkan diri, ayah masih menjaga ibu di rumah sakit. Nirma dan anak-anak saja yang pulang. Kata doktor, ibu dalam halusinasi yang kompleks. Berkemungkinan ada kesan skizofrenia mula menyeluti dalam dirinya. Cuma bezanya, ibu dalam keadaan tidak sedarkan diri. Mengikut kata doktor lagi, sekiranya ibu mula sedar, besar kemungkinan ibu menemui ajalnya, sebab sistem halusinasi dirinya bercampur-aduk dengan kelumpuhan yang mengekanginya. Lalu terjadilah arus pemikiran yang kronik berubah secara drastik. Disebabkan ketidakcergasan sistem otaknya kerana terlalu tua, maka itulah yang membunuh ibu.”

Luncuran kata-kata isterinya seperti ribut melanda hatinya. Remuk hatinya mendengar penderitaan yang ditanggung ibunya. “Kasihan, ibu.” Hanya kalimat itu terpacul di bibir keringnya. Isterinya membuka bekas makanan. Isterinya lalu menyuapkan nasi berlauk ayam goreng ke mulutnya. Dia menolak tangan isterinya seraya berkata; “Abang tidak lapar, Nirma. Kasihan ibu.” Isterinya menangis. Sendu-sedannya berdesit-desit. Isterinya menghulurkan bekas makanan kepadanya. “Kalau abang lapar nanti, abang panggil Nirma suapkan untuk abang. Nirma balik dulu, kasihan anak-anak di rumah tidur sendirian.”

Isterinya lalu menyalakan pelita angin, lalu digantungnya pada sebatang panjang kayu, jauh dari hanggauannya. Dia lalu melangkah pergi. Sekejap-kejap berhenti menahan pinggangnya dan menoleh kepadanya yang masih tertegun, kemudian meneruskan semula langkahnya amat perlahan sekali.

Kelaparannya yang menunjal-nunjal tadi sirna terus. Berita yang disampaikan oleh isterinya cukup meresahkannya. Dia cuma meneguk susu panas. Kalaulah dia tidak berkeadaan begini, tentu dia berada di sisi ibunya, memicit-micit kepalanya seperti selalu sambil berbual dengannya. Apakah skizofrenia sudah menjalar dalam tubuh ibu dalam keadaan berbeza? Desisnya. Terasa kekosongan itu terus menghunggis-hunggis perasaannya. Dia menjadi terlalu rindu pada ibunya. Kerinduan yang bercempera segenap cepu rasanya.

“Kasihan ibu, sudahlah tersiksa kelumpuhan, kini dalam keadaan koma pula. Apakah ketidaksedaran ibu ada kaitannya dengan kesan skizofrenia dalam salasilah keturunan kami?” Dia menyoal dirinya.

Malam menua dalam rebasan hujan dan angin yang mula menggila. Dengungan ulat tanah tenggelam timbul dalam derak-derak pelepah kelapa dan daun pisang. Di rumah terdengar suara isterinya mendodoikan kedua-dua anaknya. Mungkin Nur Fahamim merengek mencari neneknya, getusnya. Ingatannya hanya pada ibunya.

Malam itulah, malam paling sukar dia nak melelapkan matanya. Seperti ada sahaja kejutan-kejutan menggerakkannya. Sedangkan kerengatan pelagra mencakar-cakar kulitnya.

“Hidup ini perjuangan, Zib. Ketabahan dalam menukangi sebuah kehidupan, tergolonglah kita sebagai insan yang terpilih. Dan mengakuri apa sahaja yang diturunkan oleh Allah, mengajari kita nikmat kesyukuran.” Dia masih ingat kata-kata dari ayahnya.

Dia berdiri mengadap jeriji pemara sambil membiarkan kaki hujan menempias ke mukanya. Wajah ibunya tersemat kukuh di kelopak matanya. Kalau ada ibunya di rumah, tentu hatinya resah memikirkan dirinya bila hujan selebat ini. Dan ibunya akan bertanya; “Sudah tidur kau, Zib?” Dan ibunya akan memastikan dia disediakan selimut.

Dia mendapati dirinya berada di sisi ibunya yang masih dalam keadaan koma. Dia melihat ayahnya terjelepuk keletihan di kerusi sebelah ibunya. Dia menyoroti wajah ibunya yang tenang, sedangkan mulut serta hidungnya masih bersambung pada mesin penafasan. Skrin komputer di sebelahnya menayangkan gerak nafas ibunya yang masih tidak stabil. Carta penafasan ibunya sekejap pantas, sekejap perlahan. Dia ingin mengejutkan ibunya mengatakan bahawa dia sudah berada di sisinya. Dia melihat ketenangan wajah ibunya penuh simpati. Dia menoleh pada ayahnya, dengkur ayahnya menderam perlahan sekali. Jalur-jalur ketuaannya mengingatkannya betapa gigih dan tabah ayahnya menempuh dugaan hidup. Dia benar-benar mengagumi keperibadian ayahnya. Dia seakan terdengar semula ayahnya berkata pada dirinya; “Tiada yang lebih bermakna bagi ayah selain menjaga kesejahteraan keluarga kita, Zib. Ibumu, isterimu serta cucu-cucu ayah, kalianlah yang membahagiakan dan penyeri hati ayah, tiada lain dari itu, Zib. Ingatlah, Zib. Sesebuah keluarga itu seperti ladang yang harus dijaga dari segala serangga pemusnah. Seperti kita melihat betapa rajin dan gigihnya peladang menjaga ladangnya, supaya hasil tanamannya subur. Sebab, tiada yang lebih menggembirakan peladang itu, selain dari melihat tanamannya berbuah lebat serta meranum sepanjang musim. Seperti itulah impian ayah pada keluarga kita, Zib.”

Dia memerhati semula pada skrin komputer di sebelah ibunya yang menunjukkan penafasan ibunya amat perlahan sekali. Hatinya dikencangi debaran. Dia enggan mengejip-ngejipkan kelopak matanya sesaat pun. Dengkur ayahnya kian kuat getarnya, mungkin semalaman ayah tidak tidur, getus hatinya.

Dia menoleh pada ibunya, wajah ibunya sedikit pucat. Matanya terbelingas memerhati skrin komputer penafasan ibunya. Satu detik berlalu pantas sekali, diiringi getaran dot, dot, dot pada skrin komputer mencemaskannya. Skrin komputer menunjukkan garisan lintang terus tanpa berubah-ubah. Cuma sedetik dia sempat melihat kerlingan sayu ibunya, sebelum ibunya menutup semula kelopak matanya. Dia panik, debaran dadanya berasakan terus. Dia menekupkan telinganya ke dada leper ibunya, namun degup jantung ibunya sudah terhenti. Alur fikirnya diterpa satu kesimpulan; Ibu sudah pergi buat selama-lamanya. Dia mengucup dahi ibunya luhur dan mesra.

Matanya berkaca. Dia mengejutkan ayahnya. Ayahnya bagaikan tersentak arus letrik dalam dirinya kerana tergamam melihat dia berada di sisinya. Dia memegang bahu ayahnya seraya berkata; “Ibu pergi menemui-Nya, ayah. Sudah berpenghujung konflik ibu.” Ayahnya tertegun, lalu meluru ke arah ibunya. Ayahnya tidak bersuara lalu terduduk di sisi ibunya dengan wajah yang mengharukan.

Bila dia menoleh ke arah pintu masuk wad, terpacul seorang doktor lelaki berbadan tegap dan sasa dengan lima orang pembantunya merenung tajam kepadanya. Wajah mereka menakutkannya, sedangkan di tangan mereka masing-masing mengacu-acukan alat pembedahan. Lidahnya kelu, hatinya tersentak. Dia ingin menjerit, namun rekongnya seperti dicekik. Dia mengerling ayahnya yang masih tertegun merenung wajah pucat ibunya.

Mereka lalu menuju ke arah ibunya tanpa berkata sepatah pun dengan wajah yang membengis dan kejam. Dia cuba menghalang mereka dari menghampiri ibunya, tetapi usahanya gagal. Dia semudahnya ditolak kasar, dia tersasar pada skrin komputer yang masih berbunyi dot, dot, dot. Dia cuba bangkit. Dupp! Satu bebanan menghempap kepalanya. Seluruh tubuhnya melenguh. Dia sedaya upaya melawan kelenguhan itu demi menghalang mereka dari menyiat-nyiat tubuh ibunya.

“Jangan siat tubuh ibu! Ibu tidak berdosa!”

Kedinginan dirasakannya mencengkam tulang-temulang. Telinganya seperti terdengar dentuman guruh berserta hujan lebat. Dia cuba mengingati di mana dia berada. Antara dua keadaan yang mengelirukannya. Dia melihat doktor serta lima orang pembantunya mengikat ayahnya yang masih tertegun di sisi ibunya. Ayahnya tidak melawan langsung. Salah seorang dari pembantunya, seperti pernah dia melihatnya sebelum ini lalu membenamkan tanpa belas kasihan jarum ke lengan kiri ayahnya. Ayahnya terlentuk tidak bergerak lagi.

Dia mengumpul seluruh tenaganya untuk bangun, meskipun sendi- sendinya begitu memeritkan. Mereka menoleh serentak ke arahnya, sedangkan wajah mereka sedikit pun tidak berubah, malah kelakuan mereka seperti dalam kerasukan. Mata mereka menjengil tajam serta meliar.

Doktor mengarahkan sesuatu kepada lima orang pembantunya. Dia terkepung dalam lingkungan mereka, di tangan mereka masing-masing menggenggam jarum suntikan, pisau bedah serta besi pencangkuk usus. Dia menjadi begitu ngeri sekali. Tiba-tiba ledakan ketawa mereka membungkamkannya, tetapi yang anehnya, setiap kali mereka ketawa melengking, setiap kali juga dentuman guruh berserta hujan ikut serta.

Sriiit! Lengannya luka oleh siatan mata pisau salah seorang dari mereka. Dia menggigit bibir lalu berundur. Belakangnya mengena dinding pemara. Tangannya tersentuh sesuatu yang kemas dalam genggamannya. Dia merentap kuat serta kasar, serentak itu dia menghayunkannya seperti dalam kerasukan. Kesemua mereka berundur. Dia berasa tangannya berlekit, hidungnya menghidu bau hanyir darah. Kesakitan jarinya membisa.

Mereka berbisik sesama sendiri merancang sesuatu untuk menangkapnya. Mereka tidak tahu, dia dapat membaca fikiran mereka semua.

“Jangan bunuh aku. Aku tidak mahu mati. Kasihanilah anak-anakku…” Suaranya sebak. Hanya itu yang sempat dikatakannya, sedangkan mereka sudah merengkuhnya. Dia meronta kepayahan dalam rengkuhan kasar mereka. tangannya disilang ke belakang, ngilu tulang-tulangnya diperlakukan begitu. Dia sempat meludah dengan liurnya yang berbau ke muka doktor tadi, namun satu tamparan perit menyinggahi pipinya. Darahnya membuak.

Dia bernekad, dia mesti bertindak sebelum sesuatu berlaku. Mesti! Kasihan anak-anaknya, tambahan pula siapa nak menjaga mereka, kalau isterinya melahirkan anak ketiganya. Dia mengumpul sisa-sisa tenaganya yang penghabisan, demi tidak sewenang-wenangnya diperlakukan sepertu budak belasahan. Dia mengelupur kepungkasan, tubuhnya menjadi segagahnya. Dia menolak kasar rengkuhan mereka. Mereka terpinggir. Dia mencapai sesuatu yang direntapnya tadi lalu menghayunnya kepada salah seorang dari mereka yang terjelepuk oleh kepungkasannya. Dan dialah yang cuba menyuntiknya dengan ubat pelali.

“Mengucap, Zib! Ingat akan Allah, Zib! Kau dalam arus rangsangan skizofrenia yang kronik!” Suara itu bertali arus mengepunginya. Dia beristigfar berulang-ulang kali. Alur fikirannya mula berfungsi, meskipun tidak senormalnya. Dia berasa perubahan yang ketara dalam dirinya ketika itu. Dia cuba mengingati di mana sebenarnya berada dan kenapa? Dia mendapati, dia dikerumuni oleh orang ramai, sedangkan kedua-dua anaknya, Mohd Ad dan Nur Fahamim menangis dalam pelukan seorang jiran.

Dia melihat wajah sayu dan letih isterinya di sisinya. Kelopak matanya melurui manik-manik jernih yang bening. Isterinya merenunginya seraya berkata: “Bersabarlah, Bang. Sesungguhnya, kita sebagai makhluk yang dijadikan-Nya harus menerima dugaan dan ujian segetir ini dengan sabar dan tabah, kerana di sebaliknya ada yang ingin disampaikan kepada hamba-Nya yang terpilih.” “Nirma, kau suci dari sebarang noda!” Dia memeluk isterinya, Nirma. *

Klik VERSI PDF

Sumber : Buku Antologi 22 Cerpen Borneo Pilihan 2012

Editor : Adella Azizah Maharani

”The ”The ”The ”The

Tinggalkan Balasan

ArabicEnglishIndonesianMalay
%d blogger menyukai ini: