NOTA SEBELUM AKU PERGI

NOTA SEBELUM AKU PERGI

Cerita pendek : Poul Nanggang.

SULIT bagi dirinya rasanya untuk menulis hal ini. Namun demi perjalanan masa depan, dia cuba juga. Agar jalan tetap terurus. Biar pun penuh dengan hirisan duka dan air mata. Segala-galanya perlu dilalui biarpun pahit. Lantaran masa dan waktunya pasti tiba. Biarpun kita berada di mana sekalipun. Biar pun di atas langit atau di bawah laut. Entah kenapa, aku dinamakan Gani, Aku tidak tahu. Setahuku aku menjadi manusia bernama Gani sempat hidup di maya pada ini menghirup keindahan warna-wrani kehidupan. Selainin daripada itu, aku pun tidak tahu. Jangan persoalkan semua itu. Mungkin kalian yang tahu? Tidak payahlah kalian jawab, buat kita bertengkar sahaja. Simpan di hati masing-masing.

Gani perlahan-lahan mengambil kertas dan pensel lalu melakarkan dan mengukir segala kata hatinya di dalam kertas itu. Macam-macam bentuk lakaran ada seperti carta, graf atau nota yang dirinya sahaja faham. Bahasa yang sulit difahami, tetapi dia memahami dengan jelas sekali. Dia penuh perhatian kepada kerja yang dilakukannya. Seolah-olah dia berasa dirinya berada di dunia lain yang penuh keasyikan. Alam nyatanya telah ditinggalkan tanpa rasa rindu yang menggugat pun. Ia melupakan Padilah, isterinya tercinta dan 5 putera-puteri kesayangannya. Ia telah melupakan wanita yang paling dicintainya sehingga kini iaitu Noorhayati yang meskipun sehingga kini hanya ia berasa bertepuk sebelah tangan. Lalu aku tidak lupa kepada wajah-wajah ini Kuan Ana, Saljira, Samsiah, Mariati, Siew Ling, Faridah, Julia dan banyak lagi yang aku tidak ingat kehadiran mereka. Tapi ia tidak pula kecewa mengingati nama itu sepanjang zaman biarpun hanya mengundang nostalgia penuh kesayuan. Begitulah manusia, ada waktunya kita menang dan banyak kali kita tewas dalam hidup, khasnya mencari pasangan hidup. Atau memangnya begitu menjadi seorang lelaki yang sentiasa dirindu hadirnya dalam setiap pertemuan. Entahlah itulah namanya manusia. Sukar untuk difahami dan dimengerti akan jiwanya. Malah ia seolah-olah melupai segala-gala yang ada di alam nyata, demi melunasi segala tugas pentingnya. Malah ia berasa terhibur dan bebas lepas. Ia terasa bahawa segala himpitan-himpitan nakal dijiwanya mulai kendur dan terasa terlepas daripada rantai-rantai yang mengikat dan menguncinya.

Dalam hati Gani, sesungguhnya hidup ini memang hanya sekadar perhentian sementara. Pendek kata dunia pinjaman sahaja. Tiba masanya kita akan kembali kepada Sang Pencipta. Biar pun begitu, Gani bukanlah manusia hebat dalam ritual beragama. Tapi adalah amal ibadatnya Dia masih terikat dengan kepercayaan suku kaum peribumi Sarawak. Namanya sama seperti nama pemuda Melayu iaitu Gani tetapi Gani ini adalah dari etnik peribumi Bisaya dari Limbang. Etnik yang terkenal dengan asal usul Alak Betatar, raja Brunei yang ternama berkuasa di mandala Borneo ini. Malangnya aku bukan hanya sisa-sia darah Alak Betatar yang gah perkasa itu. Aku hanya meminjam roh jiwa Bisaya itu. Hendak dibuat perbandingan dengannya umpama langit dengan bumi. Jauh sekali. Apalah aku, sekadar manusia Bisaya biasa di sini. Sedang Alak Betatar adalah figura yang hebat pada zamannya menjadi keagungan bangsa dan negara dan umat yang dinamakan Bisaya itu di bumi ini. Walaupun itu hanya sebuah nostalgia, tetapi ikatan di jiwa manusia Bisaya tetap membara dan menyala sehingga kini. Mungkin termasuklah aku, lelaki bernama Gani. Aku telah lahir sekitar 50 tahun yang lalu. Merantau ketika hati yang luka dengan segala suka duka akhirnya bertemu jodoh di Long Belukun, di Daerah Belaga dengan puteri jelita suku etnik Kenyah Badang. Lalu atas cinta dan kasih mereka dikurniakan 2 orang puteri dan 3 orang putera. Dia kini menjadi seorang guru biasa sahaja, maklumlah dia tiada kabel besar dan panjang untuk memuji dan mendapat bantuan daripada pegawai atasan yang suka dipuji dan diangkat sebagai kroni. Kalau adapun sekadar kawan biasa, tidak lebih dari itu. Lalu Gani tetap guru dari dahulu hingga kini. Tanpa kroni tanpa kabel besar berupaya tinggi untuk menanjak nama dalam persada perkhidmatan dengan pemerintah yang dihormati. Inilah kehidpan, kita mesti pandai main sandiwara untuk menjadi manusia besar, kalau ada keinginan. Tapi bagi ayahanda, manusia besar tidak bermakna kalau jasa, bakti, perjuangan dan kebijaksanaan membantu warga tidak ada. Yang ada hanyalah kebencian, tunjuk kuasa, kerakusan posisi dan menjilat segala keinginan jahat bermaharajalela. Tanpa pingat, tanpa bintang dan tanpa penghargaan, hanya manusia biasa sahaja. Namun Gani bahagia, tidak memperlekeh kemanusiaan dan bersandiwara dalam segala kata penuh retorik dituturkan kepada telinga-telinga yang pekak sahaja akan segala simulasinya. Gani tetap hidup dalam ruang lingkup manusia biasa yang tidak didendangkan keagungan dan kehebatannya.

Gani merangka, andainya dia menjadi arwah maka jenazahnya haruslah diuruskan dengan sebaik-baiknya oleh sanak-saudaranya khasnya diketuai oleh anak lelakinya yang tua, Janang Talo iaitu adik kepada Mayang Mengurai. Biarlah roh bahagia dan sejahtera meninggalkan dunia sementara. Lalu ia menulis dalam kembara fantasinya akan hari depan yang pasti dihadapi dengan pesan kepada Janang Talo dan adik-beradik yang lain. Lebih kurang beginilah apa yang dirangka oleh minda penuh bijaksana Gani dalam pelayaran jauhnya meninggalkan segalanya di bumi ini.

Kalau diikutikan hati dan perasaan manusia, ayahanda tidak ingin berpisah dengan kalian anak-anakku. Kalau boleh hingga dunia ini kiamat. Ayahanda masih ingin mengutip kasih dan mengumpul sayang dengan kalian, itulah suara nenekmu sebelum meninggalkan dunia ini pernah bisikan ke telinga ini. Dengarkan anak-anakku yang kukasihi dengan penuh sayang iaitu, kepada Janang Talo, Janang Gayo, Janang Diok, Puteri Ayu Semenggar dan Puteri Mayang Mengurai. Mungkin kalian tidak arif akan adat dan budaya Bisaya, maka minta bantuan Pakcik Shullat Yaba Punggang yang menjadi sepupu Gani yang rapat dengannya waktu hidup. Beliau orang harapan keluarga bagi ayahanda. Datukmu dan bapa kepada Pakcik Shullat kamu adalah saudara kandung,dan kami pula sepupu. Jangan lupa juga minta buah fikiran pakcik Bernard Suling kamu, iaitu abang kepada ayahanda, lagipun beliau sabar dan tenang orangnya. Waktu hidup ayhadanda, banyak pertolongan yang beliau hulurkan dan di antara yang yang paling rapat dengan ayahanda. Memang tidak terbalas rasanya, hanya ikatan adik-beradik yang memahami pengertian bantuan itu. Jenazah ayahanda janganlah ditahan lama-lama di rumah berhari-hari tanpa dijaga dengan sempurna , kelak buruk dan busuk pula.Dalam suasana di bandar dan waktu zaman ini, jarang orang dapat lama-lama bertahan menjaga kebajikan orang lain, apalah setelah menajdi bangkai. Lagipun susah juga melayan makan minum orang datang mengunjungi jenazah, maklumlah orang ramai tetapi kena lakukan juga. Memang susah, tapi kamu semua hadapi semua ini dengan tabah dan penuh dedikasi. Jangan ganggukan kesedihan ibu mu, biarkanlah beliau tabah akan kepulangan abadi ayahanda ini. Kalau ada lebih wang seringgit dua, suntikkan ubat penahan reput supaya jenazah ini tidak berbau dan meloyakan semua orang yang datang khasnya sanak saudara yang mahu menatap wajah akhir ini. Mandikan dan kemaskan almahrum ayahanda dengan pakaian biasa sahaja ke alam kekal pada awal-awal lagi. Sebaik sahaja semua berkumpul, dan jenzah masih hanyat , mandilah ayahanda sebagai mana ayahanda mandi kalian waktu kecil, tetapi ini buat kali terakhir ayahanda minta dimandikan. Jangan lupa, berikan minum dan makan kepada sanak-saudara yang jauh dan dekat yang mengunjungi wajah akhir ayahanda, simbol sedekah bagi pihak ayahanda. Berikan mereka layanan sesempurna mungkin dan penghormatan yang seadanya andainya Pakcik Zainal Abidin, Pakcik Jaya Ramba, Pakcik Muan Pudai, Makcik Nur Hartika,Pakcik Joni Hj. Noor, Pakcik Chong Khian Tai, Pakcik Narawi Aba, Pakcik Abd. Razak Sugong, Pakcik Jaya Bagang, Pakcik Toni Madup, Pakcik Mathhew D .Madai, Uncle Apam, Uncle Wan, Auntie Alai, Auntie Alin atau sesiapa teman-teman rapat yang mengenali ayahanda datang ke sini, sekali lagi berikan tempat duduk, ruang dan detik untuk mengenangi arwah ayahanda. Biar pun mereka berlainan agama dan latar budaya, tettapi itulah teman-teman ayahanda sewaktu hidup yang cukup baik kepada ayahanda. Dalam kasar dan halusnya bahasa, mereka tetap sahabat setia. Kalau ada teman-teman ayahanda dari mana-mana seluruh maya pada ini yang telefon ucapkan takziah, sambutlah dengan tertib dan tenang , jangan emosi. Nyatakan terima kasih atas ingatan mereka kepada ayahanda. Nyatakan salam penuh takzim ayahanda kepada mereka bahawa waktu masih hidup ayahanda pernah menyebut nama mereka.. Sesungguhnya roh ayahanda bangga dengan sikap kelima-lima orang anak ayahanda tunjukkan. Tunjukkan kelembutan budi pekerti atau banyak soal yang pelik-pelik. Anggapkan kalian pengganti melayan berbicara dengan mereka, biar sedetik mana pun, tanda hormat selalu ditunjukkan. Mereka semua itu amat ayahanda sanjung tinggi menjadi sahabat ayahanda waktu hayat masih ada. Pernah lalui suka duka, menangis dan ketawa bersama. Kini semua itu hanya nostalgia yang menggigit kenangan. Kalau ada yang mengirimkan jambangan bunga, simpanlah baik-baik di sisi peti jenazah ayahanda. Bukanlah tanda bermegah-megah riak, tetapi biarlah penghargaan mereka itu diberikan tempat sebelum roh ayahanda berangkat, tidak kira kawan, atau musuh dalam selimut. Kalian tahu siapa mereka. Kalau tidak hati-hati dalam hidup ini. Usahlah ayahanda memberikan kuliah falsafah kepada kalian, fahami apa inti pati yang bertakung di jiwa kaku ayahanda ini. Kalau wang tidak cukup, mintalah tambah bagi perkara penting dengan Pakcik Alvin atau Pakcik Steven kamu, mudah-mudahan mereka murah hati menghulurkan bantuan pendahuluan. Lunasilah kemudian dengan tanggungjawab, setelah tolak campur wang mengurus jenazah ayahanda. Rasanya ada lagi sisa baki wang ayahanda, tidak banyak mana, tapi cukup untuk semua ini. Usahakan sebaiknya. Roh ayahanda akan bangga melihat semuanya berjalan sempurna. Lantaran yang hidup akan mati, yang patah akan berganti. Moga teratur dan tersusun upacara perjalanan ini sebagaimana dalam hidup ayahanda. Jangan berkira sangat baik tenaga atau pun ruang waktu, lantaran waktu hidup dahulu, ayahanda tidak pernah berkira akan semua ini untuk anakanda. Lagi satu, jangan sekali-kali bertengkar walau sekelumit mana atau berselisih faham di antara kamu adik-beradik. Buatlah apa yang termampu. Tiada yang berasakan dirinya lebih hebat atau besar waktu ini, semuanya sama seperti yang telah ayahanda nyatakan dari mulut ayahanda nasihatkan untuk kalian. Maka kini, tamatlah episod panjang ajaran-ajaran itu menusuk-nusuk rongga jiwa kalian. Kalau dibukukan pastikan akan menjadi kita keluarga paling ampuh. Moga kalian tetap ingat akan pendirian dan prinsip ayahanda. Ingat anak-anakkku. Buatlah dengan kesabaran seperti nama almahrum ayahmu ini menguruskan jenazah datukmu sekitar 25 tahun yang lalu. Jangan kelam kabut, buatlah ikut nasihat dan suara ramai daripada saudara mara yang terdekat, yang terfikir terbaik keputusannya.

Setelah selesai semua itu anakku, kalau masih ada wang ayah yang tinggal. Sediakan peti jenazah yang sederhana untuk menyimpan jenazah ayah di sana sebelum dibawa bersemadi selamanya bersama tanah asal. Pakaikan pakaian yang sederhana sahaja. Jangan lupa alaskan posisi kepala jenazah ayahanda dengan kumpulan kain tuala yang biasa ayahanda gunakan dan sisipkan bersama di dada jenazah itu “Permata Kalbu atau Memori Abadi”, yang baik sekali. Itulah tanda istimewa ayahanda, seorang penulis prosa dan pengkarya puisi yang banyak bermain dengan aksara,kata-kata, bait lalun mencipta indah kata-kata dalam susunan terbaik dalam rangkap terbaik, sebagaimana yang diutarakan oleh Samuel G. Taylor, tokoh persuratan Inggeris yang tersohor itu. Pilihlah yang terbaik. Walaupun ayahanda bukan penyair yang terbaik pada zamannya, tetapi pernah meninggalkan karya untuk semua. Tidak payah cari benda-benda mewah pun mengiringi jenazah ini. Tutuplah tubuh kaku ayahmu di sana. Nyalakan lilin pada waktu malam kelilingnya, takut-takut terlanggar untuk anak-anak kecil yang berlari-lari tidak tahu musibah ini. Mereka bukan pun orang lain, anak buah dan saudara mara pastinya. Lagipun lilin itu sudah diterima secara universal dalam semua kaum pun menyala lilin dalam suka duka, suatu simbol kepada umat manusia. Bukanlah sengaja diadakan-adakan sahaja dalam upacara. Ayahanda fikir kalian akan faham akan maksud kalimat ini. Kalau ada waktu, sedekahkan jenazah ini dengan bait-bait doa-doa indah rosari, biarpun ayahmu bukan umat Katholik yang setia, tapi tetap seorang penganut agama sejati, biarpun belum cukup lengkap amal ibadat tapi hanya Tuhan yang tahu. Berdoalah supaya roh ayahanda damai dan sejahtera. Jangan ada roh jahat yang turut hadir mengganggu. Tidak payahlah sediakan set gendang tradisi Bisaya klasik bernama “tuntong”” untuk tanda semboyan kehilangan ayahanda mengikut tradisi mulia Bisaya. Biarpun darjat jenazah ayahanda tidak diupacara sebegitu, ayahanda tidak akan berasa terhina sebagai anak Bisaya, malah ayahanda bangga dalam ketidakcukupan itu ada usaha di luar kemampuan yang sempat ayahanda titipkan buat kalian. Cukuplah dengan doa dan pengharapan kalian dengan amalan tradisi Bisaya. Jangan lupa uruskan jenazah ini secepatnya dalam kemulian dan kesempurnaan tetapi jangan tergesa-gesa atau huru hara, kalau mampu dibawa ke Tanah Persemadian Beliadau Ipai, Limbang atau mana-mana persemadian yang termampu kalian lakukan, janji jenazah ini disempurnakan kembali kepada tanah dengan sebaiknya.


Lagi anakku Janang Talo, kamu 5 adik beradik harus faham, bahawa arwah ayahanda tidak meninggalkan harta sebaris banjaran gunung untuk kalian. Tapi hanya ilmu pelajaran yang ayahanda dapat berikan sewaktu hidup ayahanda. Sesiapa yang memanfaat segala kemudahan itu dengan mendengar segala apa yang mulut ini tumpahkan lalu mengambil kebaikan dan kebijaksanaan nasihat yang muncul di persada minda kalian, maka berbahagialah kalian. Semoga kalian tabah dan siapa siaga berkelahi dengan dunia yang penuh pancaroba ini. Harapan ayahanda kalian dapat mendengar kembali suara gundah gulana ayahanda dalam setiap episod ayahanda memberikan tunjuk ajar dan peringatan sebagai seorang ayah, seperti seorang professor memberikan kuliahnya. Sekian lama ayahanda cuba memberikan segalanya yang terbaik demi kalian. Kalian, anak-anak ayahanda harta yang ada. Arwah datukmu dan nenekmu pun, tiada meninggalkan harta selautan kepada ayahanda untuk hidup, cukuplah ilmu tersemat didada yang diberikannya waktu hidupnya. Mereka almahrum percaya kami, 7 orang adik-beradik mampu menjadi manusia yang bertanggungjawb bukan sahaja kepada Bisaya tetapi roh leluhur agung keturunan kita. Hebat sekali pengharapan itu. Terasa gah dan bangga memikulnya. Ayahanda juga menyempurakan tanggungjawab itu anakku dengan semulia-mulianya waktu hayat ayahanda masih ada, kerana arwah datukmu berpesan kalianlah harta khazanah yang berharga.

Tentang hutang dan wang, harapan ayahanda sebelum kembali belayar di dunia abadi telah melunasi segala-galanya agar tidak menjadi cacian, kejian, hinaan, dalam sejarah hidup ini oleh kawan dan lawan. Biar pun, ayahanda punyai hutang yang kerana beberapa ketika ditimpa kesempitan dalam hidup. Memang sulit membayarnya, tetapi semoga usaha itu berjaya melunasinya, kalau tidak gunakan mana-mana sisa wang tertinggal untuk membayarnya. Bukanlah dari wang saku kalian, tetapi tabungan yang ada ayahanda. Bagi segala honorarium hasil jerih payah ayahanda waktu hidup andainya karya-karya itu diterbitkan atau ulang cetak biarlah ayahanda nyatakan penama waris bagi ayahanda ialah Puteri Mayang Mengurai, selaku anak sulung ayahanda. Kemudian, dia telah ayahanda amanahkan secara adil kepada kalian yang lain. Jangan sampai berdendam sehingga berbunuhan sesama saudara umpama cerita Kain dan Habel dalam kitab suci. Hutang budi dan segala kebaikan, memanglah tidak dapat ayahanda balas, moga sang dewata raya akan mengembalikan kebaikan sesiapa jua yang pernah menghulurkan dalam hidup ini.

Berkumpullah kalian di rumah tua ayahanda. Di sini sejarah banyak dicipta dan nostalgia bersama lain pernah bermain dalam kenangan. Kalau mampu, tolong usahakan untuk memberikan penghormatan pantang adat mengikut tradisi Bisaya selama 7 hari, andainya mampu. Kalau tidak mampu 7 hari maka cukup sekadar 3 hari. Andainya tidak mampu juga, maka buat sehari, biarpun rasa sedih amat sedih dan kecewa selaku anak peribumi Bisaya yang membara jiwa dalam roh Alak Betatarnya, roh ayahanda izinkan juga andainya kalian tidak mampu menyediakan waktu, ruang, usaha, komitmen dan apa jua menemui jalan buntu. Apalah daya, kalau tidak mampu dijalankan. Kita hanya merancang sedangkan Sang Dewata Raya yang menentukan kejadian ini. Akur, ayahanda akur. Maka cukuplah, janji jenazah ini kembali menyentuh tanah dengan selamat. Meski pun roh ayahanda tetap meratapi semua ini, mungkin waktu hidup masih sihat, ayahanda gagal mendidik kalian menjadi anak-anak ayahanda yang terpuji, ada jati diri Bisaya dan memahami jiwa kemanusiaan yang ayahanda genggami sekian lama. Sikap ayahnada memang keras, tetapi tidak pernah meragut kemanusiaan. Ayahanda tetap halalkan segala baik buruk yang menimpa semua itu…. hai anak-anakku dan para sahabat sekalian. Maafkan daku dan ampunilah daku sebelum berangkat jauh dari sini. Bukan aku meminta belas kasihan, hanya doa pengharapan dari kalian. Jangan salah tafsir, aku tidak akan meminta-minta biarpun telah kembali ke dunia abadi. Lepas itu, kalian semua khasnya anak-anakku yang aku sayangi boleh meninggalkan rumah using ini dan ke mana-mana destinasi haluan hidup ini dengan aman dan bebas jiwa setelah menyempurnakan sekujur tubuh tanpa nyawa telah selamat tetapi rohnya tetap masih di sini. Selama berkumpul, usahakan berbaik-baik, makan bersama-sama dan malamnya penuhi dengan iringan doa suci sebelum terlena. Sebelum kalian bersurai dan meninggalkan rumah tua ini, doakan roh ayahanda bebas dan lepas di cakerawala firdausi indah dalam sendu diam yang dalam. Ampuni segala dosa dan salah silap ayahanda waktu hidup kepada mana-mana perbuatan yang gagal direalisasikan sebagai manusia sempurna. Sesungguhnya kepada segala dosa dan perbuatan yang menyakitkan ayahanda, lebih dahulu lagi telah ayahanda maafkan. Moga Sang Dewata Raya mengampuni kalian. Selamat tinggal semua, selamat tinggal anak-anakku yang amat kukasih, isteriku yang tercinta, teman-teman yang pernah menghargaiku, atau kekasih yang pernah aku rindui selain ibu mu, juga tidak lupa semua musuh-musuhku yang pernah menganiayaku, memijak-mijak namaku, rohku masih merasainya. Mereka yang mengganggap kewujudanku menyusahkan mereka, membuat mereka ditimpa kecelakaan dan tidak menguntungkan dalam hayatku di dunia ini, maka mereka tidak menyenangi menyeluruh baik tingkahku, wajahku, tulisanku, kata-kataku, pemikiranku, nasihatku atau pandanganku maka mereka itu – musuhku. Kini kalian tidak lagi seteru, kerana aku telah kembali ke dunia kekal.

Semoga kita bertemu di sana dan melunasi segala ketidakpuasan kalian kepadaku sebagai manusia yang pernah didurjanakan kalian.

Aku pasrah dengan apa yang akan dihujamkan oleh Sang Dewata Raya. Kini aku Gani, kembali seperti manusia-manusia yang lain yang telah pergi dan bakal pergi. Salam kemanusiaanku dan selamat tinggal.*

Cerpen yg tersiar pada 07 Mei 2012 di YIIB, Utusan Borneo.

Klik VERSI PDF

Sumber : Buku Antologi 22 Cerpen Borneo Pilihan 2012

Editor : Adella Azizah Maharani

”The ”The ”The ”The

Tinggalkan Balasan

ArabicEnglishIndonesianMalay
%d blogger menyukai ini: