SEEKOR ULAR BESAR MELINGKAR DI DADA BANTAL

SEEKOR ULAR BESAR MELINGKAR DI DADA BANTAL

Cerita Pendek : Jaya Ramba

DARI satu sudut rimba yang tidak bertanda, di bumi ini, seekor ular besar liar singgah di sebuah tanah merdeka. Besarnya seakan seekor anakonda tetapi sekalian orang ramai mengatakan seekor ular besar itu adalah tedung berbisa. Malah ada yang mengatakan bahawa binatang itu bersifat lemah lembut. Sedangkan berjenis-jenis ular lain meramalnya sebagai seekor ular berpangkat dan berkuasa. Kata mereka, dia seekor ular sawa lapar yang boleh menelan apa sahaja. Adalah masyarakat yang hidup bersopan santun di bumi ini mengatakan seekor ular besar itu ketua mereka. Cuma, mereka salah pilih kerana terpedaya.

Ular besar itu melilit sepohon pokok ketapang yang berbuah jarang. Matanya melilau liar, kemudian menelan sebiji buah amanah yang tergantung di hujung ranting. Merasakan dirinya masih kelaparan, ular itu menerkam buah permata berharga sehingga tubuhnya bertenaga. Ia semakin sasa dan berkuasa menyebabkan beberapa ekor ular biasa yang mengintainya sejak tadi hilang peluang. Lalu mereka meminggirkan diri ke sudut-sudut sepi yang terasing.

Dari dahan berjuntai itu, ular besar itu merenung ke sebuah sawah damai yang terletak di kampung sejarah. Kemudian, ular besar itu meredah mudah ke tanah paya dan sawah. Tanaman dibaham dan rumah-rumah diruntuhkan. Ular besar itu meluru ke sebuah gudang milik sang kunang-kunang. Adalah besar impian ular besar itu mahu menakluki sebuah industri berteknologi tinggi. Seterusnya, ular besar itu mengarahkan barisannya memeta hak mereka. Maka, dibina sarang yang menjadi larangan semua orang.

“Di hujung itu negara kaca,” ujar seekor ular kecil yang pintar kepada ketuanya.

Tanpa berkata apa-apa, ular besar menggelunsur pantas. Ia teringatkan doktrin yang telah musnah di tangannya. Doktrin itu akan ditukar dengan pemerintahan demokrasi. Ia akan menjadi seorang diktatorial pertama di negara ini. Di mana peraturan tertentu akan ditetapkan secara pemuafakatan. Di mana undang-undang dicadangkan agar melarang penindasan. Ia mahu menjadi alamar dan mahu rakyat besar seperti masyarakat ular. Maka, keadilan lebih dikuatkuasakan. Dalam masa yang sama, bolehlah ia menyemburkan bisanya kepada penentang yang menghalang. Atau dipatuk dan ditelan jika melanggar peraturan serta undang-undang negaranya. Inilah negara demokrasi pertama di dunia.

“Seekor semut api dibantu seekor tedung paling bisa berkuasa di negara kaca itu. Apakah kita boleh menyingkirkannya,” bisik seekor harimau yang melangkah di belakang ular besar itu.

“Juga seekor sang kancil pintar,” tambah seorang pengawal peribadi.

Ular besar itu diam. Sesekali ular besar itu menjelirkan lidahnya. Mereka mara kian ke hadapan, melalui ribuan setinggan haram, melepasi rumah kayu yang dikatakan tanah pusaka dan mereka akhirnya sampai ke bandar yang akan mereka pimpin nanti. Seekor ular berbangsa liar menyambut kedatangan mereka dan lalu berkata.

“Inilah negara idaman tuan. Di sini tuan akan bertukar sisik, sekaligus bertukar sifat dan tabiat. Kelembutan suara tuan akan mengkabuskan salji yang boleh melembutkan hati sepenghuni di bumi ini. Ayuh kita ke rumah kaca itu dan ada mesyuarat ditetapkan,” ujar ular liar itu. Ribuan tetamu yang terpegun menyambut kedatangan mereka.

Sekalian penghuni di tanah haram terperanjat. Juga, sekalian penghuni asal di tanah pusaka itu terdiam. Mereka melihat papan tanda yang didirikan “Tanah Kerajaan. Kawasan Larangan.” Alangkah amat resahnya mereka. Ribuan mereka antara jutaan warga tercinta menjadi keliru. Di sesetengah tempat terpapar papan tanda “Ular besar adalah pemimpin agung” dan papan tanda yang paling besar itu berbunyi “Kami pemartabat bangsa dan pemimpin demokrasi”.

Tepukan gemuruh menyambut kedatangan seekor ular besar itu. Setiap yang didakapnya merasa kelembutan caranya. Setiap yang disapanya, merasa sopan santun kata-katanya. Lalu mereka mengatakannya, beliau ialah seorang pemimpin tulen. Lalu beberapa orang mengandaikannya.

“Pasti ular itu lebih berkalibar. Pemimpin cemerlang yang melambangkan budi pekerti gemilang dan melambangkan negaranya terbilang.”

Di dewan itu, ular besar itu duduk di depan sekali. Suasana sepi dan hanya kedengaran gelombang penghawa dingin memenuhi ruang balai mesyuarat. Alangkah indah dan cantiknya ukiran istana kaca menyebabkan ular besar itu merasa megah. Ular besar itu akan lena tidur di mahligai indahnya pada malam ini nantu. Lalu ular besar itu menyampaikan diktum pertamanya.

“Seperti mana, jadinya di hulu sungai, sudah pasti kujadikan moden. Begitu juga di metropolitan ini, kukembangkan cemerlang ekonominya. Kupilih jenis binatang yang kurasa gemilang sebagai pemimpin. Kuakan ubah setiap pelusuk daerah agar maju mudah. Kalian dan masyarakat di luar akan menerima faedah kemajuan.” Liar matanya merenung sekalian ribuan pemimpin.

Maka, jutaan rakyat di pelusuk tempat tercegat. Masyarakat dunia dapat melihat bicaranya dan dapat mengenali cara tindakannya. Dalam suasana negara gagak putih menindih, pantas mengenakan kuasa mewah mereka kepada semua negara, ular besar itu menentukan satu kaedah mudah dengan menetapkan pentadbiran konspirasi dan menggunakan teori untung rugi. Malah mula mengakulturasi agar rakyat menjadi satu bangsa. Ia mahu masyarakat satu bangsa dan satu budaya.

“Muslihat penyelamat,” beritahu sang kancil kepada ular tedung bisa yang baharu sahaja bersara.

“Pentadbiran mematuk serta kemudian membaham dan menelan adalah bukan dasar sejarah negara ini. Bukan wawasan rakyat dan negara ini,” tegur ular tedung bisa itu kepada pemimpin baru itu.

“Kau pemimpin sinisme yang menyampah,” balas pemimpin ular besar itu lagi.

Maka, seluruh negara gempar dengan salah faham pemimpin mereka. Pemimpin gagak, helang, beruang, harimau, mengambil kesempatan. Pemimpin burung merpati dan punai turut masuk campur sehingga mereka digelar pemimpin boneka sahaja. Mereka pemimpin boneka dan pelepas nafsu pemimpin berkuasa. Adalah cara tersembunyi menangani rasuah. Adalah cara senyap mencari muafakat sambil minum air ketika menyelam. Adalah pula menerkam dari belakang bila menyerang. Tidak dapat tidak, ada pula terang-terang mencipta satu pemerintah ala bala bagi mengelakkan malapataka. Suasana kian kacau-bilau.

Seekor ular besar itu terus menyeru seterunya. Dia lalu mensingalir setiap gerak-geri musuhnya. Dia sedar ramai yang menentang menyebabkannya seperti pemimpin kecundang.

Maka, dia asyik bertandang ke kandang istirehatnya. Dia melingkar di dada bantal dan berikhtiar sambil membelit seekor merpati cantik. Ketika bertukar kulit dengan bertelanjangan, merpati berbisik kepadanya.

“Kau seekor ular yang lebih lembut. Kau lebih baik memimpin di negara kelambu. Bukan aku tak setuju, patutlah pimpinan kau lebih berserabut. Cuma kau paling berkuasa bila di sisi setiap wanita. Kau lebih hebat bila melingkar di dada bantal. Mungkin suatu hari nanti, kau akan telan aku pula.” Merpati cantik itu ketawa sambil membiarkan ular besar itu membelitnya.

Ketika itu ular besar melemparkan pandangan ke arah skrin. Berita petang yang mengatakan musibah spekulator. Melihat betapa lantang musuhnya bersuara agar negara berbudaya ini perlu menjadi suara dunia ketiga yang tertindas. Kata musuhnya, bahawa tidak ada masalah genting ekonomi tetapi sengaja dikatakan oleh ular-ular bisa dan ular besar bagi mengaut keuntungan. Ketika itu ular besar mencapai dan menekan punat telefon. Merpati cantik hanya membiarkan sahaja sifat tuannya.

“Kalau duduk jangan diam, kalau berdiri jangan lari, kalau berjalan jangan berhenti, kalau menoleh jangan memandang, kalau bermimpi jangan tidur, kalau terjaga jangan bangun, begitu juga, kalau benar jangan dipercaya. Ini cara saya,” katanya entah kepada siapa.

Lalu ular besar itu melemparkan benda canggih itu ke arah pintu. Berderai telefon bimbit menimpa pintu berjenama kayu jati. Namun ular besar itu tersenyum bila memandang ke arah merpati cantik. Dimatikan masalah tadi di mindanya kerana dia perlu memimpin di mahligai rahsianya. Dia melayan mimpi-mimpi indah.

Adalah kabut bertiup menjadikan kalut. Angin badai meredah ganas, menggoncang ke seluruh pelusuk ruang bumi dan angkasa. Hujan lebat turun hebat membanjiri pantai resah seluruh penghuni. Kelam kabut itu seperti sebiji bom meletup. Maka, semua pemimpin curiga sehingga salah sangka dilemparkan. Kata-kata kasar terkeluar dari mulut celupar. Kuasanya mula dipertikai. Ketika itu, masing-masing menyalahkan sesama sendiri. Ular besar diam-diam malu.

“Hidangkan peluang agar kami perbaiki dengan konspirasi teori budaya bangsa kita sendiri. Masalah tidak parah seperti yang dikhabarkan pihak pembangkang. Biar kita sama selesaikan kekusutan ini. Kita terpaksa dengan cara bahaya sekalipun,” ucapnya di sidang akhbar.

“Bukankah mesti tuan kekalkan dasar dulu?” soal seorang wartawan akhbar.

“Bukan kekal untuk selama-lamanya, kerana apa yang dipatuk dan ditelan tidak cukup berkesan. Kita mahukan sekalian rakyat terlibat dan biar sama merasa kemewahan. Juga, sama merasa penderitaan,” jelasnya sambil tersenyum.

“Bukankah itu beban yang menjadikan rakyat makin papa dan miskin?” cantas wartawan dari sebuah stesen tv terkenal itu.

“Kami ada caranya. Tiba masanya, saya akan umumkan.” Ular besar itu lalu bangkit dari duduk.

Maka timbalannya pula tersenyum. Dia mengambil alih tugas ketuanya sambil mempersilakan semua wartawan ke sidang akhbarnya. Dia juga perlu menyampaikan sesuatu.

“Bukankah kelam kabut ini akibat daripada penglibatkan tuan dalam satu tragedi yang melibatkan mahkamah?” soal seorang pengintip negara asing kepada Timbalan pemimpin itu.

“Ia gelombang ekonomi dunia. Ia permainan spekulator dan ia mainan pembangkang yang curang. Satu lagi soalan,” ujarnya tenang memberi peluang kepada para pemberita.

“Apa pendekatan dalam masalah ini, tuan?” selat seorang wartawan jelitawan.

“Teori kita berkesan. Namun, hanya cadangan,” ujarnya lalu dia meminta diri.

“Apakah teori menyelam sambil minum air?” kata pemberita itu dengan sikap degilnya.

“Bila, tuan?” soal seorang wartawan dari Harian Semenanjung.

Tetapi dia tidak berpaling. dia juga mahu istirehat kerana banyak tugas rasmi yang perlu diselesaikan. Dia akan melakukan sesuatu untuk memimpin negara ini dengan seekor ular besar yang asyik melingkar di dada bantal. Dia seharusnya mengambil kesempatan. Biar dosa ular besar itu berakhir di dada bantal. Esok, dia berusaha mencari bala bagi menyelamatkan dirinya dan rakyatnya. Oleh itulah teori kepimpinannya masih dirahsiakan.

YIIB-26 julai 2010

Klik VERSI PDF

Sumber : Buku Antologi 22 Cerpen Borneo Pilihan 2012

Editor : Adella Azizah Maharani

”The ”The ”The ”The

Tinggalkan Balasan

ArabicEnglishIndonesianMalay
%d blogger menyukai ini: