Cerita Pendek : R Hamzah Dua

KAMAR itu kecil.Terlalu amat kecil.Di dalamnya terletak sebuah meja dan dua buah bangku kayu.Meja dan bangku kayu itu sudah agak usang. Di atas meja yang dialas dengan kertas putih, yang kini telah berconteng-conteng itu, terletak pula sebuah mesin taip lama, kelihatan kian dimamah usia. Entah buatan tahun berapa.Tidak seorang pun yang tahu.Dan tidak ada seorang pun yang mahu tahu.Tetapi walau pun begitu, mesin taip itu masih elok lagi.Masih boleh digunakan.

Beberapa helai potongan akhbar dan majalah dibiarkan begitu sahaja. Berselerak tidak menentu bebersama beberapa helaian  kertas putih; kertas taip dan kertas kajang. Sebuah fail berwarna kuning, yang di dalamnya termuat beberapa helai kertas, yang sudah bertulis entah apa, juga ada di atas meja itu. Beberapa buah buku tersusun di tepi meja mengarah ke dinding kamar itu.

Di sudut lain, terletak pula sebuah ranjang. Ranjang yang hanya khas untuk seorang.Dan di tepi dinding berdekatan dengan ranjang itu, tersangkut beberapa helai pakaian.Pakaian itu terbiar begitu sahaja. Apabila angin menyerbu masuk melalui jendela yang sentiasa terbuka, semua pakaian itu akan berkibar-kibar bagai bendera.

Begitulah keadan kamar kecil yang kini sepi. Terlalu amat sepi itu.Ia telah ditinggalkan  oleh  penghuninya. Entah  sudah berapa lama. Dan entah ke mana pergi- nya. Tidak ada sesiapa yang tahu.Tidak ada sesiapa yang mahu tahu.Tidak ada sesiapa yang peduli.Tidak ada sesiapa yang mahu peduli.Baik jiran-jiran sebelah menyebelah.Baik teman-teman.Teman-teman rapat atau yang tidak rapat.

Begitulah keadaan!

Dan begitulah keadan kamar kecil itu kini.Ia tertinggal dan terbiar.

Suatu ketika dahulu, sebenarnya memang ada yang tahu, bahawa kamar kecil itu ada penghuninya.Jiran-jiran sebelah-menyebelah tahu.Teman-teman tahu.Baik yang rapat atau yang tidak rapat.Tetapi apabila kamar itu ditinggalkan, apabila kamar kecil itu dibiarkan dengan keadaannya seperti kini, apabila penghuninya menghilang entah ke mana, tidak ada sesiapa pula yang peduli.Tidak ada sesiapa pula yang mahu peduli.

Dahulu, memang ada yang tahu bahawa penghuni kamar kecil itu ialah seorang seniman.Seniman agung.Dia sendiri yang melaung-laungkan ketokohan dan keagungannya.

Dia sering membicarakan kepada teman-temannya.Baik teman-teman rapat atau yang tidak rapat.Dia sering membicarakan tentang ketokohannnya.Tentang keagungannya.Di mana-mana sahaja.Baik di rumah.Baik di tepi jalanan.Baik di warung.Baik di kedai kopi. Baik di kali lima. Baik di lorong-lorong.Dan di mana-mana sahaja. Ke mana sahaja dia pergi, tidak ada perkara lain yang dibicarakannya kecuali mengenai ketokohan dan keagungannya.

Tetapi aneh.Terlalu amat aneh. Karya-karyanya tidak sebuah pun yang pernah  tersiar. Tersiar di mana-mana.Baik  dalam akhbar. Baik  dalam majalah. Baik

di radio. Dan tidak seorang pun yang pernah membaca karyanya.Baik sajak.Baik cerpen.Baik drama.Baik novel. Tetapi, sungguhpun begitu dia tetap membicarakan dan mengakui dirinya sebagai seniman. Seniman agung.Dia cukup bangga.Terlalu amat bangga. Dan kebanggaannya akan lebih melambung-lambungkan dirinya, apabila ada pula di antara teman-temannya yang memuji-muji. Memuji-muji dirinya.Memuji-muji ketokohannya.Memuji-muji keagungannya. Dia lantas akan menepuk dada. Bagai seorang pahlawan jaguh.Yang terlalu amat jaguh.Bahawa dia sebenar-benarnya seorang seniman.Seorang seniman agung. Agung!

Tetapi aneh.Terlalu amat aneh.Tidak sebuah pun karyanya pernah tersiar.Tidak sebuah pun karyanya pernah ditemui.Baik dibaca.Baik didengar.

Suatu malam.

Sedang dia asyik membaca akhbar, yang tidak sempat dibacanya pada siangnya, tiba-tiba dia dikunjungi seorang tetamu yang tidak dikenalinya.Dia kaget.Hairan.Kaget dan hairan berbaur dalam dirinya.Dia tertanya-tanya pada dirinya sendiri siapakah tetamu itu.Tetapi dia persilakan juga orang itu masuk.Dia persilakan juga orang itu duduk.Duduk di hadapannya.

– Kamu seorang seniman?

– Ya.

– Seniman agung.

– Ya.

Orang itu senyum.Sinis.Dan memandang kepadanya.Lama-lama.Dalam-dalam.  Bagai   ada   sesuatu  yang  diperhatikan. Diperhatikan  ke atas dirinya. Membuatkan dia bertambah hiaran.Hairan dan resah tidak menentu.

– Kamu siapa?

Orang itu tidak menjawab.Namun tersengih.Kemudian dia meneliti seluruh ruang kamar kecil itu.Diperhatikannya lama-lama.Puas-puas.Kemudian pandangannya tertumpu ke atas meja.Matanya terpandang sebuah mesin taip lama. Juga terpandang potongan-potongan akhbar, majalah, fail bewarna kuning dan beberapa buah buku yang tersusun di situ. Kemudian orang itu memerhatikan kembali seluruh ruang kamar kecil itu.Dan akhirnya pandangan itu singgah ke arah seniman agung.Lalu dia tersenyum lagi.Sinis.

– Kamu siapa sebenarnya?

Diam. Sengih.

– Aku tak kenal kamu?

– Tak kenal?

– Betul.

Orang itu tiba-tiba ketawa dengan kuatnya, memecah keheningan suasana.Seluruh ruang kamar kecil itu telah dipenuhi oleh gema ketawanya.

– Betul aku tak kenal kamu. Siapa kamu? Dan apakah tujuan kamu datang ke mari?

Orang itu ketawa dengan lebih kuat lagi.

Dia tambah panik.Tambah hairan.Perasananya tidak menentu.Rasa marahnya tambah meluap apabila mendengar gema ketawa orang yang tidak dikenalinya itu.

– Mengapa kamu ketawa begitu? Mengapa hah?

– Kerana kamu tak kenal aku.

– Ya, memang aku tak kenal kamu.

– Tapi aku kenal dengan kamu. Kamu seorang seniman. Seorang seniman agung!

Perasaan marahnya hilang tiba-tiba.Dia tersenyum.Bangga.

– Memang aku seorang seniman!

– Seniman agung?

– Ya! Mengapa, kamu seorang penkritik?

– Aku tak pernah mengatakan bahawa aku seorang pengkritik.

– Jadi siapa kamu? Seorang seniman seperti aku?

– Aku tak pernah mengatakan bahawa aku seorang seniman.

– Aku tak mengerti.

– Memang kamu tak mengerti, kerana kamu hanya kenal pada diri kamu. Dan lebih suka mengenalkan diri kamu daripada kamu mengenali orang lain.

– Memang!

– Kamu seorang yang aneh. Terlalu aneh!

– Aneh?

– Ya!

Dia jadi marah lagi.Dia tidak mahu dituduh aneh. Celaka orang ini! Dia datang sengaja hendak memperli aku.Sengaja hendak mempermain-mainkan aku. Setan!

– Kamu sengaja memperli aku?

– Tidak. Aku tak memperli kamu.Aku tahu, bahawa kamu seorang seniman.Seorang seniman agung.

– Ya, memang benar!

– Aku datang untuk bertanya kepada kamu.

– Bertanya?

– Ya.

– Emm, tanyalah.

– Benarkah kamu seorang seniman?

– Memang. Bukankah kamu sendiri dah mengakui dan mengenali aku.

– Memang aku mengakui dan mengenali kami. Tapi aku mahu bertanya pada kamu, apakah buktinya bahawa kamu seorang seniman?

– Bukti?

– Ya.

– Buat apa bukti?

– Bukti amat perlu.

– Untuk apa?

– Untuk mengesahkan ketokohan kamu kepada masyarakat, supaya mereka benar-benar mengenali kamu.

– Tapi aku dah kenalkan diri aku, ketokohan aku, bahawa aku adalah seorang seniman. Seoang seniman agung!

– Cara bagai bagaimana?

– Menceritakan kepada mereka, bahawa aku adalah seorang seniman. Seorang agung.

– Sudah berapa ramai orang yang mengenali kamu dengan cara itu?

Dia tiba-tiba terdiam.Dia tidak dapat memberi jawapan pada pertanyaan itu.Dan renungannya terlempar ke luar melalui jendela yang sedang terbuka luas.Di luar suasana gelap.Terlalu amat gelap.Cuma angin lembut menyerbu masuk ke kamar kecil itu.

– Mengapa kamu diam? Kamu dak tahu berapa ramai yang mengenali kamu?

– Tidak…

– Mengapa? Bukankah kamu telah mengatakan bahawa kamu telah mengenalkan diri kamu kepada mereka?

– Cuma teman-teman aku saja.

– Begitu?

Dia diam.

Orang itu ketawa lagi dengan kuatnya.Angin malam yang menyerbu masuk ke kamar kecil itu bagai terhenti oloeh gema ketawa itu.

Dia biarkan orang itu ketawa.

– Kamu sebenarnya telah berbohong kepada diri kamu sendiri.

– Bohong?

– Ya!

– Tidak! Aku tak berbohong.Aku memang seorang seniman.Seorang seniman agung.Bukankah kamu sendiri mengakui hakikat ini. Mengapa pula kamu sengaja  cuba  melarikan kenyataan dan pengakuan kamu sendiri? Kamu sengaja nak memperkecilkan aku. Sengaja hendak memperkecilkan ketokohan dan keagungan aku, kerana kamu tak boleh menjadi seperti aku!

– Baiklah, apa lagi bukti mengatakan kamu seorang seniman?

– Bukti?

– Mesti! Mesti ada bukti!

– Lagi-lagi bukti yang kamu minta. Apa perlunya bukti?

– Kamu kata bukti tak perlu? Bukti seniman adalah sebagai tanda kebenaran, tanda pengakuan yang sah.Apa kamu sengaja tidak mahu menerima hakikat ini?

Diam. Bungkam.

– Kalau kamu seorang seniman, seorang seniman agung, seniman tulen, kamu harus tunjukkan bukti. Bukti kepada masyarakat seluruhnya dan teman-teman kamu yang selama ini turut mengakui diri kami seorang seniman.

Dia masih diam. Masih bungkam.

– Kamu tahu erti seniman? Erti seni?

Diam.

– Kamu pernah menghasilkan karya?

Bungkam.

– Mengapa kamu diam setiap kali aku bertanya? Tunjukkanlah bukti bahawa kamu sebenarnya seorang seniman.Seorang seniman agung.Seorang seniman, apatah lagi seniman agung seperti kamu, aku kira tentu boleh menjawab semua pertanyaan aku tadi!”

– Baiklah,  baiklah. Aku  akan  tunjukkan,  kalau  kamu benar-benar  mahukan bukti itu.

– Bagus!

– Tapi bukan sekarang. Bukan hari ini…

– Bila?

– Kamu akan tahu sendiri, bila ada karya aku yang tersiar nanti, itulah buktinya!

– Baiklah, aku akan tunggu!

Orang itu lantas meminta diri.

Tinggallah dia di situ, di kamar kecil itu.Dipandangnya mesin taip.Dipandangnya sebuah buku antologi cerpen yang memuatkan karya-karya bermutu dan agung. Tanpa

menggunakan fikiran yang lebih jauh, dia lantas memasukkan kertas putih ke mesin taip. Huruf-huruf mesin taip diketuk satu-satu.Cepat.Bunyinya memenuhi seluruh ruang kamar kecil itu.Keheningan malam pecah oleh gema ketukan mesin taip itu.

Dia terus menaip.

Dia benar-benar seorang seniman. Seorang seniman agung!

Beberapa hari kemudian, tersiarlah sebuah cerpen di sebuah akhbar terkemuka.Cerpen yang dihasilkan oleh seniman itu.Seniman agung.Dia puas.Terlalu puas setelah karya yang agung itu tersiar.Tersiar di akhbar yang terkemuka.Itulah bukti ketokohannya sebagai seorang seniman.Seorang seniman agung.Dia bangga.Terlalu amat bangga. Dan karya yang tersiar itu diguntingnya dan disimpannya  baik-baik. Ia amat berharga bagi dirinya. Dan apabila ada teman-teman, baik yang rapat atau yang tidak rapat berkunjung ke kamar kecilnya, dia lantas akan menunjukkan potongan karyanya itu. Dia dengan bangganya mengatakan dia adalah seniman. Seorang seniman agung! Teman-temannya akur.Terlalu amat akur dengan kenyataan dan bukti yang telah ditunujukkannya.

Dia terlalu amat bangga!

Tetapi keesokannya, akhbar yang telah menyiarkan karya agung seniman itu telah menyiarkan pula ulasan terhadap karyanya.Semua teman-temannya terperanjat.Masyarakat tertanya-tanya.Dan dia juga telah merasakan bahawa ketokohan dan keagungannya selama ini telah musnah.

Betapa dia tidak menyangka bahawa karya agung itu, telah memusnahkan pula keagungannya selama ini. Dan betapa dia tidak menyangka bahawa orang yang tidak dikenali, yang telah datang ke kamar kecilnya dan bertanyakanm bukti ketokohan dan

keagungannya itu sebenarnya seorang seniman. Seorang seniman agung.

Dia sedar.Dia menyesal.Dia malu.Terlalu amat malu.Malu pada teman-teman.Malu pada masyarakat seluruhnya.Dan lebih malu lagi pada orang yang memang sebenarnya seniman agung yang lebih dulu menghasilkan karya agung itu.Daripada kesedaran itulah dia tidak kelihatan lagi di kamar kecil itu sehingga kini.Dan tidak ada sesiapa pun yang tahu ke mana dia menghilang.Tidak ada sesiapa pun yang mahu tahu mengapa dia meninggalkan kamar kecil itu. *

Klik VERSI PDF

Sumber : Buku Antologi 22 Cerpen Borneo Pilihan 2012

Editor : Adella Azizah Maharani

”The ”The ”The ”The

Tinggalkan Balasan