MONOLOG NENG KARTINI

MONOLOG NENG KARTINI

Cerita Pendek Abang Patdeli Abang Muhi

“…SUDAH sampai waktunya kami bangkit melawan segala bentuk penindasan dan ketidakadilan ini. Mereka kira kami ini siapa—Adakah kami ini sapi yang bisa sahaja diperah susunya hingga kering kontang? Adakah kami ini kerbau yang boleh sahaja dibantingkan kudrat tulang empat kerat kami untuk lima enam ratus ringgit cuma? Kami bukannya anjing yang bisa sahaja diperlakukan seperti hamba sahaya. Kami juga manusia seperti mereka—kami ada hati, ada jiwa, ada perasaan, ada harga diri dan ada tanggungjawab sebagai ibu dan isteri. Kami bukannya batu. Bukannya tunggul!

Mungkin juga mereka kira kami ini perempuan yang polos, lurus,lugu, pasrah, lemah, dan mudah menyerah. Lantas, bisa sahaja mereka manipulasi dan eksploitasi dari dinihari hingga ke tengah malam buta.Ya, memang kami orang gaji atau pembantu rumah tangga atau dalam bahasa Inggerisnya maid atau helper.

Kalau kami orang gaji, kami harus dibayarkan gaji kami yang sudah dijanjikan kepada kami. Ini tidak, bekerja bagaikan hendak mati dan bagaikan hamba abdi, tetapi gaji tidak dibayar penuh, malah, ada yang tidak dibayar langsung. Memang ada antara kami yang berhutang dengan ejen ketika masih di Indonesia lagi, tetapi hutangnya tidak sebesar mana pun—RP 7 juta kesemuanya termasuk ongkos pasport, makan, penginapan, komisen ejen dan lain-lainnya. Itu pun baharu sekitar RM 1,900.00, dan kesemuanya yang harus kami bayar kepada ejen adalah sejumlah RM3,000.00 bersih.

Kami juga dijanjikan hutang itu dilunaskan secara ansuran selama satu tahun, dan kami dibayar gaji minimum RM650.00 bersih per bulan (sekitar Rp 1.950 juta), dan makan minum serta te mpat tinggal ditanggung oleh majikan—maknanya, kami masih ada sisa lebih kurang RM150.00 sebulan—dengan kata lain, kami masih ada gaji setiap bulan. Dalam setahun, lunaslah segala hutang kami itu. Jadi untuk dua tahun lagi, kami akan menerima gaji bersih sebesar hampir Rp 2 juta per bulan.

Namun, kami langsung tidak ada gaji untuk setahun bekerja, malah ada antara kami tidak pernah lunas-lunas hutang yang tidak seberapa itu hingga kontrak kami tamat. Sudahlah tidak dibayar gaji, ada antara kami yang didera, diperkosa dan dipaksa melakukan kerja-kerja yang bertentangan agama kami. Ada juga antara kami yang dijanjikan untuk bekerja sebagai pembantu rumah tangga, tetapi, sesampai di Malaysia, kami “dijual” sebagai pelacur.

Ada juga antara kami yang dipaksa untuk melakukan kerja-kerja lain yang bukan seperti dalam permit kerja kami. Sering juga ejen-ejen menghilang entah ke mana, dan membiarkan kami diperlakukan apa mahunya oleh majikan kami setelah semua wang dikaut mereka. Hendak mengadu tiada siapa yang mahu mendengar.

Hendak membuat laporan tidak berani. Hendak lari (ada juga yang lari) tidak tahu ke mana hendak dituju. Malangnya, jika ada yang lari, kami juga yang dipersalahkan kerana menipu majikan kami. Apabila ada antara kita yang didera oleh majikan, itu dikatakan wajar kerana kami malas, tidak pandai buat kerja rumah dan entah apa-apa lagi tohmahan serta cemuhan mereka. Selalunya kamilah yang berada di pihak yang salah, kendati, kebanyakan kesalahan itu adalah pada pihak majikan, termasuk ejen-ejen kami.

Kami bukanlah hendak menegak benang yang basah, dan bukan hendak mengada-adakan cerita. Memang ada antara kami yang tidak jujur, pemalas dan tidak pandai membuat kerja. Itu hanya satu persen atau kurang lagi, daripada ribuan jumlah kami di seluruh negara Malaysia yang serumpun dan aman damai ini. Tidak bolehlah hanya kerana nila setitik, susu sebelanga hendak dirosakkan, dan tidak patut, hanya disebabkan kerbau seekor membawa lumpur, semua kami hendak dipalitkan. Itu tidak adil dan wajar!

Pihak media dan akhbar pula, satu hal, baik di Malaysia mahupun Indonesia—cenderung benar mensensasikan dan mengheboh-hebohkan serta mempolitikkan kejadian-kejadian yang terpencil;yang bisa sahaja diselesaikan secara rundingan dan muhibah.

Akhirnya masyarakat umum menerima sahaja semua itu secara membabi buta; segala yang ditulis wartawan dan disiarkan oleh akhbar dan televisyen diterima tanpa usul periksa, lantas ada antara mereka yang naik marah, sekali gus mengambil kesempatan untuk mengapi-apikan sentimen kenegaraan dan mencetuskan ketegangan. Natijahnya, rasa takut, resah gelisah, curiga, syak wasangka, marah, benci dan dendam pun merebak dan marak macam api dalam sekam.

Aku, Neng Kartini namaku, berasal dari Jepara, Samarang. Tahu Jepara? Orang Malaysia tentu tidak ramai yang tahu. Jepara itu tanah bertuah kelahiran Raden Ajeng Kartini, pemuka emansipasi wanita Indonesia yang tersohor.

Bapa aku memberikan nama aku bersempena dengan nama tokoh wanita Indonesia, puteri sulung Bupati daerah Jepara semasa penjajahan Belanda yang terkenal itu, meskipun aku tidak sepintar dan seberani beliau dalam memperjuangkan hak dan keadilan untuk wanita-wanita daif dan naif seperti kami ini.

Aku, seperti juga kebanyakan wanita Indonesia yang dihantar ke luar negara sebagai pembantu rumah tangga, ialah janda beranak tiga. Sebetulnya aku sudah dua kali janda, dan hingga sekarang tetap janda—kami janda genit, dan banyak jantan yang meleleh dan terkecur air liur mereka apabila memandang kami, dan apabila kami melirik, ramai yang akan tergoda, terpedaya! Dasar jantan, mata keranjang!

Aku bukannya mahu menjanda sampai ke tua, tetapi belum ketemu jodoh lagi. Kalau ikut akan hati aku mahu segera menikah—tidak kira dengan siapa, orang Malaysia atau Indonesia. Asalkan dia bisa menjadi suami yang bertanggungjawab, dan tahu menjaga serta menyara isteri dan anak-anaknya..Menjadi isteri kedua pun tidak mengapa. Aku pula memang jenis yang suka berdandan,dan teman-teman selalu mengusik aku, bahawa tahi lalat di bawah dagu sebelah kanan aku cukup manis—bisa “membunuh” mana-mana laki-laki yang tidak mantap imannya, apalagi jika aku tersenyum manja. “Cantik itu melukakan!”, kata Eka Kurniawan, novelis yang sangat aku gemari novel-novelnya.

Ya, memang cantik itu melukakan! Kecantikan itu selalu membuat orang cemburu. Apalagi janda yang cantik selalu dicurigai orang. Isteri majikan aku, malah isteri majikan tetangga aku, aduh, cemburu sangat sama aku, malah dengan pembantu rumah tangganya sendiri—sering kali juga, aku disindir, kononnya menggoda suami-suami mereka. Mereka tidak tahu suami-suami
mereka pun miang, menggatal—ada yang mengambil kesempatan atas pembantu-pembantu rumah yang montok dan menggiurkan—mereka berbuat baik, dan berkata manis, tetapi ada sesuatu keinginan lain di baliknya

Aku pula memang wanita yang ayu dan manis. Apalagi kalau aku berdandan, semakin tidak dapat duduk diam mereka. Dasar wanita yang cemburu buta! Mereka fikir aku ini janda murahan! Aku dan teman-teman janda aku yang lain itu pun ada harga diri. Kalau tidak kerana keperitan hidup, mana mungkin aku mahu meninggalkan desa, tanah tumpah darahku yang aman damai itu. Lantaran mahu menyara kehidupan dan ketiga-tiga anaklah, aku merantau ke Malaysia. Kebetulan, Malaysia negara serumpun dengan Indonesia.

Kehidupan di Indonesia susah. Bukan kerana negara itu miskin, tetapi, penduduknya terlalu ramai, dan peluang pekerjaan hampir-hampir tidak ada. Mahu bersawah dan berkebun, tanah tidak ada. Mantan suami-suami pula melepaskan tangan begitu sahaja—mereka hanya tahu bikin anak, tetapi, tidak pandai menjaga dan menyaranya. Mahu tidak mahu, suka tidak suka, akulah yang harus bekerja demi anak-anak

Bayangkanlah, sudahlah hidup serba susah dan daif, hutang lagi, sesampai di sini, kerja setengah mati, tetapi hutang tidak lunas-lunas. Terasa sudah tidak tertahan lagi menanggung penderitaan dan penindasan ini. Makanya, aku mengajak teman-teman yang senasib dengan aku agar bersatu—bangkit melawan segala bentuk kezaliman dan ketidakadilan terhadap kami, para pembantu rumah tangga—kami mahu menubuhkan Persatuan Pengurus Rumah Tangga (PPRT), dan kami tidak lagi mahu dipanggil pembantu rumah tangga, tetapi pengurus rumah tangga—biar namanya lebih gengsi dan profesional. Lewat PPRT ini kami akan bentuk pelbagai Kebajikan (KK), Komite Perundangan (KP), Komite Latihan (KL) dan Komite Perundingan dan Penghantaran (KPP). Kantor pusatnya di Jakarta, dan di setiap kota besar akan ada kantor cabangnya. Itu akan kami lakukan secara bertahap-tahap. Kelayakan paling minimum untuk menjadi anggota ialah lulus Sekolah Menengah Atas (SMA). Setiap anggota kami akan dilatih untuk menjadi pengurus rumah tangga yang cekap, berilmu pengetahuan, berperibadi mulia dan separa profesional. Yang Muslim untuk majikan Muslim sahaja, dan bukan Muslim adalah untuk majikan bukan Muslin—sensitiviti keagamaan dan kepercayaan akan kami utamakan. Setiap majikan akan menandatangani kontrak dengan PPRT, bagi pihak para pengurus rumah tangga. PPRT hanya mengenakan caj perkhidmatan sebanyak 5 % daripada gaji per bulan para pengurus rumah tangga yang berdaftar dengan PPRT. Kos pasport, visa, permit kerja dan pengangkutan akan ditanggung oleh para pengurus rumah tangga sendiri. PPRT bisa sahaja memberikan wang muka bagi semua urusan tersebut, selain menyediakan kemudahan pinjaman peribadi dengan caj faedah 2.5 % kepada mereka yang memerlukan.

Kemudahan kewangan dan pelbagai caj yang kami kenakan jauh lebih manusiawi daripada yang dikenakan ejen-ejen pembantu rumah tangga yang tidak formal sebelumnya—malah, ada yang tidak selesai-selesai hutangnya selama tiga tahun bekerja, meski telah membayar keseluruhan hutangnya;keringat dan darah mereka “disedut” habis-habisan oleh para ejen yang tidak berperikemanusiaan, walaupun sesama bangsa, agama dan negara, malah ada yang dari kampung, desa dan daerah yang sama.

Mungkin kalian kira, ini idea yang gila-gila.Ya memang! Justeru idea yang gila-gilalah pelbagai keajaiban di dunia bisa ini diciptakan. Untuk melakukan dan merealisasikan segala “kegilaan” itu memerlukan keberanian. Hanya para pemberani sahaja yang akan menang. Mana ada para penakut dan pengecut yang menang.

Raden Adjeng Kartini (nama aku pun diambil bersempena nama tokoh nasionalis dan emansipasi wanita itu) misalnya, adalah insan yang pemberani. Beliau juga punya idea yang gila-gila—beliau berani menantang sistem masyarakat yang patriarchal—yang dikuasai dan didominasi. Beliau berani memprotes kebudayaan Jawa yang menghambat pembangunan dan kemajuan wanita. Beliau menggagas idea-idea dan aspirasi Zelfontwikkeling, Zelfonderricht, Zelfwerkzaamheid , Zelfvertrouwen dan Solidariteit—semua idea beliau itu didasari Religieusiteit, Wijsheid enSchoonheid, yakni kepercayaan kepada Tuhan, kebijaksanaan dankeindahan selaras dengan gagasan kemanusiaan dan nasionalisme. Justeru, keberanian dan pemikiran kritis beliau itulah yang telah mengubah pandangan masyarakat Belanda terhadap wanita peribumi Jawa, sekali gus menjadi inspirasi kebangkitan nasional.
Aku juga ingin mengikut langkahnya—mahu mengubah pandangan dan persepsi masyarakat di Malaysia mahupun Indonesia tentang status para pembantu rumah tangga. Kami mahu kami dianggap dan dilihat sebagai golongan yang profesional atau separa profesional—untuk itu, kami harus mengubah diri kami sendiri terlebih dahulu baik dari segi ilmu pengetahuan kami mahupun penampilan dan keterampilan kami. Moto kami “Berbakti, Berpekerti, Berbudi”. Kami akan menyediakan para pengurus rumah tangga yang terlatih dan separa profesional dengan gaji minimum RM750.00 per bulan, manakala, makan minum, tambang pesawat pulang ke Indonesia serta penginapan ditanggung majikan. Dalam sebulan minimum cuti satu hari.

Banyak lagi syarat yang lebih manusiawi yang akan kami perjuangkan. Kami akan mendesak menjadikan PPRT sebagai salah sebuah agensi utama yang mengurus, melatih dan membekalkan pengurus rumah tangga untuk keperluan lokal dan internasional.
Dengan menganggotai PPRT kebajikan para pengurus rumah tangga yang aku idam-idamkan itu akan lebih terjamin. Lewat PPRT juga apa-apa masalah dan permasalahan serta kasus berkenaan dengan para pembantu rumah tangga akan diselesaikan dengan semangat keserumpunan yang tinggi. Juga akan diperhatikan bahawa tidak akan ada kasus-kasus yang berkaitan dengan para pengurus rumah tangga yang sengaja disensasikan dan dipolitikkan oleh pihak media—baik di Malaysia mahupun Indonesia demi hubungan yang lebih muhibah dan semangat setia kawan antara negara dan bangsa serumpun itu.

Kalian bukan tidak tahu, banyak orang akan cuba menangguk di air yang keruh, sekali gus mengambil kesempatan, lantas mengapi-apikan sentimen orang Malaysia dan Indonesia supaya tercetus ketegangan, keregangan dan pertelingkahan. Sedangkan, kondisi dan duduk sebenar kasus itu tidaklah separah dan seburuk yang digembar-gemburkan.

Biasalah, ada segelintir orang yang oportunis yang sengaja mengambil kesempatan agar kedua-dua pihak—Malaysia dan Indonesia akan bereaksi (apalagi jika ada yang emosi) dengan perasaan saling mencurigai, lantas akan saling menganyang antara mereka.

Kami atau kita rakyat biasa ini pun turut terlampias oleh tindakan-tindakan dan aksi-aksi yang tidak profesional, muhibah dan tidak harmoni itu. Ironinya, kita mengaku dengan bangganya bahawa kita adalah negara dan bangsa serumpun—bangsa yang berkongsi satu rasa bahasa dan budaya yang sama.

Namun, tidak demikian keadaan yang sebenarnya. Maaf, kadang-kadang aku terfikir bahawa semua itu, idea tentang negara, bangsa, bahasa dan budaya serumpun itu hanyalah retorik dan basa-basi. semata-mata untuk mengamankan rasa dan hati sahaja.

Ternyata rasa keserumpunan itu tidak sebegitu harmonis, manis, indah dan mesra seperti yang dibayang-bayangkan, dan diartikulasikan oleh orang-orang politik. Makanya, aku tidak begitu percaya akan para politikus seperti yang sering aku dengar bahawa mereka itu golongan yang tidak begitu cerdik dan cerdas, tetapi cukup pintar dan licik dalam bermuslihat demi keuntungan peribadi dan para kroni mereka.

Malah, merekalah yang paling banyak terlibat dalam kasus korupsi, dan menjarah wang negara. Pernah teman aku, dari Kalipuro, Banyuwangi, (kami memanggilnya janda pingitan) janda yang anggun dan manis, dijadikan “korban nafsu” seorang politikus ternama sebagai ganjaran kerana dia membantu teman aku itu terlepas daripada diserkap polis kerana terlupa membawa pasport ketika jalan-jalan di Chow Kit di Kuala Lumpur (memang kawasan Chow Kit ini menjadi tumpuan orang-orang Indonesia semua marga sewaktu libur).

Bukan dia seorang sahaja, malah banyak juga teman-teman pembantu rumah tangga seperti aku yang aku dengar menjadi mangsa kerakusan nafsu segelintir para politikus dan orang-orang politik yang tidak bertanggungjawab itu. Makanya, aku ingin menjadi pemuka dalam memperjuangkan nasib wanita-wanita yang terkucil seperti kami.

Kami tidak boleh terlalu bergantung harap kepada pihak berwenang, apalagi para politikus yang oportunis untuk memperjuangkan nasib kami—malah, kasus-kasus akut menyangkut para pembantu rumah tangga dan Tenaga Kerja Indonesia (TKI) yang terus-terusan berlanjut-lanjutan, sebahagian besarnya adalah gara-gara orang-orang politik—mereka sendiri atau kroni mereka adalah agen dan pembekal pembantu rumah tangga dan TKI—justeru, ada-ada sahaja hambatannya setiap kali munculnya masalah dan permasalahan
pembantu rumah tangga dan TKI.
Kerana terlalu rakus, serakah dan memikirkan soal untung rugi, maka, kebanyakan agensi yang dipertanggungjawabkan untuk mengurus pengiriman pembantu rumah tangga ke luar negara, tidak begitu mempedulikan undang-undang yang sedia ada, lantas mereka mengabaikan kebajikan wanita-wanita malang seperti kami.

Mungkin kalian tidak percaya akan kata-kata aku, lalu tidak memperhatikan nasib malang kami. Kalian tidak mengalaminya, dan kalian hanya mendengarnya lewat radio, televisyen atau membaca kisah sedih kami di akhbar sahaja.

Mujurlah kami ini wanita-wanita yang berani—setidak-tidaknya berani merantau meninggalkan kampung halaman, anak-anak, suami-suami serta keluarga tersayang. Banyak risiko yang harus kami hadapi—suami-suami yang ditinggalkan dan dikirimi wang hasil keringat serta susah payah kami, berlaku curang terhadap kami, malah ada yang setelah dapat mengumpul wang yang relatif lumayan, nikah lagi seorang.

Ada juga antara kami yang diceraikan, dan anak-anak yang kami tinggal untuk mereka jaga, mereka abaikan. Sakit, pedih dan pilu hati kami diperlakukan seperti itu, tetapi mujurlah kami tidak patah semangat dan mudah menyerah. Kami teruskan juga mencari rezeki di rantau orang, meski hati, perasaan dan jiwa kami disakiti. Tanpa usul periksa, ada yang sengaja mengapi-apikan sentimen kenegaraan yang sempit.
“Kami” dijadikan kambing hitam setiap kali ada kasus yang hendak disensasikan, malah dipolitikkan oleh pihak-pihak tertentu yang mungkin sahaja diupah untuk melakukan provokasi.

Sepatutnya sebagai bangsa serumpun kita tidak saling memprovokasi antara kita. Kita seharusnya saling memakmurkan antara kita, tidak merosakkan hubungan baik antara bangsa serumpun kita ini dengan apa-apa cara sekalipun.

Pernah aku terbaca, tapi, aku tidak ingat.siapa penulisnya : Jangan kita saling mengganyang antara kita, tetapi, kita hendaklah saling mengenyangkan antara kita. Benar juga katanya itu, kenapa kita sebagai bangsa serumpun ini, harus ribut-ribut antara kita gara-gara kejadian-kejadian yang bisa sahaja diselesaikan lewat rundingan dan diskusi yang penuh dengan rasa persaudaraan, meski akan ada yang bersetuju untuk tidak bersetuju dengan jalan diplomasi dalam penyelesaian sesuatu kasus itu. Selebihnya, biarlah proses undang-undang dan pengadilan yang memutuskannya.

Kita sepatutnya berbahagi rasa kedamaian, kemakmuran, kebahagiaan, kesedihan dan keperihan. Bukannya emosi melulu—ada sahaja kasus yang bukannya parah pun natijahnya, kita terus mengadakan unjuk rasa dan demonstrasi jalanan—kononnya memperhatikan dan prihatin akan permasalahan kami. Kalau memang mahu memperjuangkan nasib malang kami—kenapa tidak ada yang berdemonstrasi dan unjuk rasa di jalan-jalan membantah tindakan tidak manusiawi mereka yang berkenaan tatkala ada antara “mereka” yang senasib dengan kami yang harus mati (kerana cuba masuk secara “haram” dan tanpa izin) kerana dipaksa terjun ke laut gara-gara tekong takut diserkap pihak berwenang? Bukan sedikit bilangannya, tahu, tetapi ratusan orang, mungkin ribuan orang saban tahun.

Bayangkan sahaja jika “mereka” itu wanita dan anak-anak. Itulah aku tidak begitu senang jika yang ada suka mengambil kesempatan ke atas kasus kami. Aku dan teman-teman aku yang lain lebih mengerti kondisi wanita-wanita yang senasib dengan kami—memanglah kami tidak mengharapkan syurga dunia ketika merantau mencari rezeki di negara orang, namun kami juga tidak mahu neraka dunia yang penuh dengan kesengsaraan. Yang suka menindas dan berlaku zalim itu tidak mengira bangsa, agama, keturunan, jantina mahupun negara.

Selagi yang dinamai manusia, pasti tidak dapat menghindari daripada melakukan kesilapan dan kesalahan, asal sahaja tidak sampai ke tahap melampau dan keterlaluan. Kami ini sudah mangli dengan segala macam tuduhan dan pandangan liar. Bukan tidak ada yang datang dan masuk secara “haram”;tanpa izin.

Bahkan ada yang sengaja datang secara “haram” dan menggunakan jalan tikus, baik dari laut mahupun lewat jalan darat. Bilangannya bukan sedikit, malah, ribuan orang. Belum lagi diambil kira mereka yang tinggal melebihi tempoh waktu dan hari seperti yang dibenarkan dalam visa mereka. Bilangan mereka yang bekerja tanpa permit kerja yang sah, juga ratusan orang—mungkin juga beribu-ribu orang. Yang terlibat dengan jenayah, saban hari semakin bertambah. Justeru, apabila tindakan diambil dan penangkapan dibuat, mulailah semua itu dijadikan kasus politik yang disensasikan dan dipolitikkan secara melulu. Sedangkan, yang salah itu, “kita” sendiri. Kalian mahu tahu?

Aku sudah lebih 15 tahun bekerja di Malaysia dengan majikan yang sama (barangkali aku memang berbaik mujur kerana majikan aku memang terlalu baik). Aku bekerja sejak usiaku 23 tahun (aku tidak menipu daripada segi umur seperti sebahagian teman-temanku yang lain—baharu sahaja berusia 15 tau 16 tahun, tetapi, mereka taruh 19 tahun persis di dalam pasport mereka agar bisa dibenarkan bekerja). Yang mengakali dari segi usia bukannya sedikit, malah sengaja dilakukan oleh para ejen yang rakus. Sering kali mereka yang masih terlalu muda dan umur dini itu, tidak begitu efisien mengurus rumah tangga. Mereka juga sukar menyesuaikan diri dengan bahasa dan budaya (walaupun kita serumpun tetapi ada juga bahasa dan budaya yang kita yang berbeza).

Justeru, pelbagai masalah bisa saja timbul;para majikan menjadi mudah marah—kemarahan yang kecil orang atau kampung orang, tentulah harus lebih bersopan, dan tidak berbuat sesuka hati kita—nama baik bangsa, negara dan diri harus dijaga.

Sebab itu sering aku ingatkan teman-teman aku yang lain, terutama mereka yang masih baharu agar selalu bersabar;agar sentiasa berusaha untuk belajar dengan cepat apa juga cara mengurus rumah tangga. Aku ini bolehlah dikira senior dalam “profesion” sebagai pembantu rumah tangga ini. Banyak masam-manis, pahit-maungnya sudah aku alami. Aku pernah ditipu ejen dan teman sendiri.

Aku juga pernah hampir-hampir ditipu oleh karyawan di Konsulat negara aku sendiri—kononnya yang simpati dan empati dengan aku, dan ingin memperisterikan aku. Mujurlah aku tidak tergoda, terpedaya dan termakan pujuk rayunya—rupa-rupanya dia kasanova—banyak para pembantu rumah yang menjadi korban nafsu serakahnya, khususnya yang muda-muda dan yang pertama kali bekerja sebagai pembantu rumah tangga mahupun TKI. Tanpa niat berlebih-lebih, aku tipe yang pemurah.

Banyak juga budi aku kepada orang-orang sedesa dengan aku. Malah, lima orang sepupuku yang kini hidup relatif senang, akulah yang membawa mereka ke Malaysia dengan cara yang benar hingga mereka bisa mandiri. Tujuh orang yang lain, termasuk saudara-saudara terdekat aku dan tetangga aku pun aku yang membawa mereka dengan komisen dan kadar bayaran yang paling minimum (asal sahaja aku tidak menanggung kerugian). Wang muka untuk pasport dan lain-lain aku yang dahulukan.

Sekarang mereka sudah bisa mandiri dan bisa hidup lumayan senanglah. Sebahagian daripada mereka juga melakukan seperti apa-apa yang pernah aku lakukan untuk mereka—berbahagi kesenangan dengan cara kami dan semampu yang kami bisa lakukan….

Memang ada majikan yang bermasalah, cerewet dan ruwet. Begitu juga dengan parapembantu rumah tangga dan TKI. Apa pun, tidak ada masalah yang tidak bisa dibereskan secara baik-baik, dan mulus. Tidak perlu segala permasalahan itu diselesaikan secara konfrontasi.

Aku tidak berlebih-lebihan, sungguh, Malaysia aman-aman saja. Rata-rata, kami senang sekali bekerja di Malaysia. Hanya barangkali, masih banyak yang harus ditambah baik, khususnya yang berhubung kait dengan kami, para wanita.

Atas sebab itulah, aku tidak akan berhenti daripada perjuangan membela nasib wanita-wanita seperti aku. Waduh, begitu bersemangat sekali aku—tetapi, itu semua memang cita-cita dan aspirasi aku jika aku punya wang yang cukup, dan ada dukungan daripada para TKI dan pihak berwenang, pemerintah maksud aku. Paling tidak pun, idea dan saran aku didengar, dan mungkin sahaja diterima pakai sebahagiannya.

Ya, setidak-tidaknya, mereka yang senasib dengan aku akan lebih mengerti dan memahami bahawa mereka punya hak untuk dilayani seperti wanita dan manusia, walaupun kami hanya pembantu rumah tangga yang naif atau kami keturunan orang-orang desa yang daif!…

Ketika aku tersedar daripada menungan dan khayalanku yang panjang, rupa-rupanya aku masih lagi bersantai-santai dan bersandar malas di sofa rumah banglo mewah majikanku, sedangkan hari sudah kesiangan….

(abang fadli/abangpat@yahoo.com)

Klik VERSI PDF

Sumber : Buku Antologi 22 Cerpen Borneo Pilihan 2012

Editor : Adella Azizah Maharani


”The ”The ”The ”The

Tinggalkan Balasan

ArabicEnglishIndonesianMalay
%d blogger menyukai ini: