Cerita Pendek Azridah PS Abadi

SUASANA sunyi  seketika  bila  perbincangan  majlis khatam al-quran dibicarakan.  Majlis yang sekian lama tertangguh. Ada saja halangannya.   Suhaila menarik nafas  panjang.  Jika  boleh,  dia  ingin  meneruskan  niat  itu  untuk mengadakan majlis khatam al-quran beramai-ramai dengan anak adik

beradiknya. Jika boleh, selagi ayah masih hidup, dia ingin menyempurnakan impian itu. Ayah juga sering bertanya, bilakah majlis itu hendak diadakan. Dan majlis itu jugalah yang dinanti-nanti dan diidam-idamkan oleh arwah emaknya, tetapi apakan daya beliau tidak sempat melihat hari bersejarah itu. Allah lebih dulu menjemputnya. Masih dia ingat, kata-kata arwah emaknya;

“Tentu cantik, kalau anak-anak kamu dipakaikan baju serba putih, dihiaskan pelamin yang cantik, dengan perarakan dan pukulan

kompang,” harapan itu tinggi menggunung.

“Insyaallah mak, kita buat besar-besaran. Jika ada rezeki, buat aqiqah sekali,” sahut Suhaila sambil melemparkan senyuman kepada emaknya.

“Kalau semua buat aqiqah, mahu tujuh hari tujuh malam kita tidak bertidurlah jawabnya,” gurau emaknya. Jelas bayangan kegembiraan di wajah tua itu.

Mereka terketawa. Nada keriangan berbunga kembali.

“Emak ni berpenyakit Su, entah esok lusa, mak akan mati. Kalau boleh, mak mahu tengok cucu-cucu mak berkhatam beramai-ramai,” besar sungguh impian maknya.

“Mak jangan cakap begitu, insyaallah mak akan sembuh dan dapat menyaksikan hari bersejarah itu,” Suhaila cuba menenangkan hati maknya. Ada sebaris simpati pada emaknya yang sekian lama menghidap penyakit tiga serangkai itu.

Suhaila tersentak. Ah! Rawan hatinya bila mengingatkan semuaitu.

“Janganlah buat besar-besaran Su. Buat majlis sederhana sahaja, tetapi buat yang terbaik. Lagi pun khatam quran bukannya diwajibkan dalam Islam, tetapi dibolehkan membuatnya asalkan tidak bercanggah dengan syariat Islam. Untukt apa kita membazir. Buat mana yang perlu sahaja. Yang penting, lepaskan niat kita dan jadikan galakkan kepada anak-anak yang lain,” itulah kata-kata abangnya, Shamli.

“Aku ikut saja apa katamu kak Su. Aku sokong apa pendapatmu,” jawab adiknya Sharifah.

“Kalau boleh, Su mahu buat ikut perancangan asal. Tapi, jika kata abang buat sederhana saja, Su ikutlah. Memandangkan kewangan abang dan adik belum mencukupi, aqiqah itu kita tangguhkan dulu. Buat khatam saja,” akhirnya dia mengalah.

“Kalau macam tu, kita buatlah persiapan mana yang patut. Abang amanahkan Su atur semua. Abang sekarang jauh bekerja. Abang cuma aturkan imam dan jemputan. Yang lain, abang serah semua pada Su,” tambah abangnya lagi.

“Akak beritahu saja apa yang mahu dibuat,” Sharifah pula menyapa.

Suhaila mengangguk setuju. Namun, ada kekesalan di raut wajahnya. Hanya dia yang tahu. Begitulah Suhaila, yang begitu prihatin dengan sesuatu perkara. Di kalangan anggota keluarganya, dia merupakan tunjang utama yang memainkan peranan penting dalam sesuatu majlis keluarga yang diadakan. Apa tidaknya, dialah ketua perunding, perancang dan pelaksana. Lebih-lebih lagi bab masakan. Dia seorang yang begitu komitet.

Sesungguhnya, ibubapa mereka sangat bertuah memiliki enam orang anak seperti mereka. Apa tidaknya, mereka seringkali mendapat pujian daripada sanak saudara, jiran tetangga dan sahabat handai dalam pengurusan majlis. Semuanya diatur dengan baik, ditambah lagi dengan hidangan yang lazat. Tidak hairanlah jika Suhaila mahukan mereka tetap melakukan yang terbaik untuk majlis itu.

Tetapi, ada satu perkara yang amat merisaukan Suhaila. Permintaan bapanya yang mahukan mereka membuat tradisi suku kaum bugis. Mendirikan gerbang yang dibuat daripada batang pisang dan dicucukkan bunga telur. Batang pisang akan dihias cantik. Telur pula diwarnakan dengan pelbagai warna. Gerbang tersebut diletakkan di tengah rumah atau lebih jelasnya di ruang tamu. Bila sarakal bergema, telur tersebut akan diambil dan diagih-agihkan kepada tetamu. Beras kunyit dan wang syiling akan ditaburkan, maka kanak-kanak akan berpusu-pusu mengutipnya di atas lantai.

Memang diakui, itulah tradisi suku kaum bugis di daerahnya. Masih dia ingat, 28 tahun yang lalu, ketika majlis khatam quran abangnya Shamli..begitulah ianya dilaksanakan. Namun, kini zaman sudah berubah. Adat tradisi itu sudah lama ditinggalkan. Arus pemodenan telah menenggelamkan tradisi itu. Lagi pun, kesedaran tentang agama sudah berputik di jiwa mereka.

“Alah Su, janganlah diikut kata bapa tu. Tahulah abang memujuknya nanti. Itu cuma adat saja, hukum tidak mewajibkannya,” abang Shamli memprotes cadangan bapa.

“Tapi, Su kasihankan bapa tu bang. Dia beria-ia mahukan kita membuatnya. Nanti kecil hati pula bapa Tak sampai hati pula. Orang tua kalau merajuk susah bang,” Suhaila cuba memujuk abangnya supaya bersetuju kemahuan bapa mereka.

“Zaman sekarang mana ada orang buat begitu Su, malu kita nanti diketawakan orang,” abang tetap dengan pendiriannya.

Suhaila diam. Mengalah pada abangnya.

“Lagi pun membaling wang syiling tu, tidak dituntut oleh agama.

Apa kata imam nanti,” abangnya menyambung lagi tazkirah agamanya.

“Ok lah kalau bang tidak mahu yang itu, tapi kita buat bunga telur yang dipacakkan di batang pokok pisang itu. Rasanya itu tak melanggar tuntutan agama kan,” rayu Suhaila demi menjaga hati seorang bapa

“Su, dengarlah cakap abang ni. Janganlah Su.”

Memang ada kebenaran kata-kata abangnya. Buat berlandaskan tuntutan agama. Tetapi, Suhaila kesal kerana abangnya sengaja tidak
mahu  memahami  hati  seorang  tua   yang  telah   membesarkannya. Abangnya sudah mula membuang adat bangsanya sendiri.

Berbagai persiapan telah diatur. Sudah tentunya, Suhaila adalah orang yang terpenting dalam melaksankannya hinggakan tak lena tidur dibuatnya. Memikirkan apakah lagi yang belumdibereskan. Bapanya, meskipun ada perasaan kecewa kerana pemintaannya untuk meneruskan adat tidak dipenuhi oleh anak-anaknya,tetap membantu cucu-cucunya mengulang mengaji untuk persiapan terakhir. Membetulkan tajuwid cucu-cucunya. Tapi, dalam kemeriahan itu, ada sesuatu yang mencuit hati naluri Suhaila bila anak-anak mereka mengomel dalam satu hal.

“Ibu, atuk tu lainlah mengajar mengaji. Kami tak faham cara atuk mengaji. Dia guna dialek bugis,” rungut anak buahnya fifi.

“Janganlah begitu Fifi. Sama saja. Atuk kan bangsa bugis, macam ayah Fifi juga kalau bercakap ada dialeg kedah,” Suhaila menenangkan hati anak buahnya itu.

Dibiarkan rungutan Fifi. Dia meneruskan mengarah itu dan ini kepada adik beradiknya. Menu kegemaran sudah disenariakan. Jemputan mulut dan telefon sudah dilaksanakan. Baju pengantin anak-anak sudah siap ditempah bersama kerlipan batu permata di hijab yang mencantikkan wajah anak-anak comel mereka. Tentu cantik sekali anak-anak itu, getus hatinya.

“Rasa-rasanya, apa lagi persiapan yang belum selesai?” tanya adiknya Sharifah.

“Akak fikir mahu panggil kompang dan buat pelamin juga.” “Cukupkah bajet kita kak?” tanya Sharifah pada malam perbincangan mereka.

“Insyaallah dik, kakak akan bajet betul-betul semua keperluan. Lagi pun, akak mahu senangkan hati bapa. Kasihan dia, sudahlah kita tak ikut cadangannya.”

Suhaila memicit-micit angka di handponenya. Dia mencari nombor telefon sahabat lamanya, bertanyakan kumpulan kompang yang ada. Syukur, ternyata usahanya berhasil.

Sahabatnya itu memang menyediakan kumpulan kompang muri-murid sekolah agamanya. Impian Suhaila tercapai. Yang tertinggal di fikiran ialah persiapan latar tempat untuk anak-anak itu membaca quran. Walau apa pun terjadi, dia akan tetap mengusahakan latar tempat yang alah-alah pelamin untuk anak-anak itu bertakhta di atasnya.Dia ingin sekali menyaksikan keindahan itu.

Berkat sepekatan dengan adiknya Sharifah, akhirnya dia menemui jalan buntu. Alah-alah pelamin tetap akan dibuat. Berlatarkan hijau dan putih, dan bunga tiang di kiri kanan, cukup mengindahkan majlis itu. Ditambah lagi dengan bunga-bunga berwarna hijau dan kuning di atasnya, tentu berseri. Jelas terbayang keindahan serinya pada sepasang mata sayunya itu.

Hari yang dinanti-nantikan telah pun tiba. Hidangan lazat sudah disediakan sejak subuh lagi. Makulmlah, majlis bermula pukul 10.00 pagi. Anak-anak sudah berapakaian cantik. Alah-alah pelamin berhias indah. Segar mata memandang dengan kehijauan yang amat memikat hati.Lampu berkerdipan di sekelilingnya. Kelihatan suara-suara manis membisik kata;

“Wah! Cantiknya pelamin,”

“Amboi! Majlis besar-besaran ni,” ujar pak ciknya pula.

Suhaila hanya tersenyum simpul.

Majlis berjalan lancar seperti yang dirancang. Ketika anak-anak memasuki daun pintu yang diarak pukulan kompang dan bunga manggar, kelihatan berpusu-pusu lanser kamera mengambil gambar. Anak-anak bersusun berjalan beriringan ke mahligai indah mereka.

Pakaian berwarna putih amat sesuai di majlis khatam itu. Suara-suara merdu anak-anak begitu mengasyikkan para tetamu.

Salawat dan salam mengiringi majlis terakhir. Anak-anak bersalaman kepada ibu bapa dan para tetamu. Ada deraian airmata singgah ke pipi ibu bapa mereka dan juga para tetamu. Terharu melihat majlis yang sebegitu indah.

Suhaila melabuhkan punggungnya di sofa empuk. Merehatkan diri yang telah keletihan. Perasaan gembira jelas terpancar di wajahnya. Akhirnya, apa yang dirancang menjadi kenyataan. Anak matanya berlari ke arah bapanya yang duduk tersadai di muka pintu. Tiba-tiba hatinya berlagu pilu bila mengenangkan bapa. Tentu bapa sedih mengenangkan emak yang tidak sempat menyaksikan hari bahagia untuk cucu-cucunya itu. Betapa gembiranya hati emak, jika emak masih hidup. Kelihatan bapa mengesat airmatanya. Entah apa lagi yang membendung di jiwa pilu seorang tua itu..

Barangkali, bapa sedih kerana hajat hatinya tidak tertunai. Meneruskan jalur tamadun bangsanya yang sudah dilupakan oleh anak-anaknya. Maafkan aku bapa…maafkan anak-anakmu ini…dari mata sayumu, dan di balik tubuh lesumu, aku tahu hatimu menggeligis pilu di penghujung jalur-jalur hayatmu. *

Klik VERSI PDF

Sumber : Buku Antologi 22 Cerpen Borneo Pilihan 2012

Editor : Adella Azizah Maharani

”The ”The ”The ”The

Tinggalkan Balasan